Meskipun terlepas peluang menduduki podium di laman sendiri, namun ia bukanlah penamat kepada perjuangan sejati yang dipamerkan pelumba Moto3 negara, Hakim Danish.
Danish ternyata memenangi hati peminat dengan persembahannya berkelas dunia apabila pernah berada pada tempat kedua di lap ke-11 dalam saingan Moto3 Malaysia 2026 hari ini.
Namun, pelumba berusia 19 tahun itu terpaksa berpuas hati menamatkan perlumbaan di tempat keempat dan terlepas peluang menaiki podium pada di Litar Antarabangsa Sepang.
Pelumba yang mewakili pasukan Aeon Credit-MT Helmets-MSI itu memulakan perlumbaan daripada petak ketiga dan mempamerkan aksi cemerlang apabila bersaing dalam kelompok hadapan sejak awal perlumbaan.
Bagaimanapun, persaingan sengit pada pusingan terakhir menyaksikan Danish terpaksa berdepan cabaran daripada tiga pelumba lain, termasuk Veda Pratama dari Honda Team Asia.
Usaha pelumba negara itu untuk memintas Alvaro Carpeh di selekoh terakhir, bagaimanapun tidak berhasil, sekali gus menyaksikan dia terlepas peluang untuk berada di podium.
Danish menamatkan perlumbaan ketinggalan 4.410 saat di belakang pemenang, Maximo Quiles daripada pasukan CFMOTO Gaviota Aspar Team yang juga muncul juara dunia selepas menjuarai pusingan ke 19 ini.
"Saya teruja dapat melihat ramai penyokong yang hadir memberikan saya sokongan, bawa kain rentang serta jerit nama saya. Ia bagi saya lebih bersemangat. Dekat grid saya dengar penyokong panggil nama saya. Itu momen terbaik saya.
"Kali ini dapat dengan sorakan penyokong dan ia momen paling terbaik buat saya." katanya.