Skip to main content

Bola Sepak

Meledak: Magis Piala FA menanti JDT dan Sabah

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

final piala fa

Sejak diperkenalkan 35 tahun lalu sebagai pertandingan kalah mati yang melengkapi saingan liga semi-pro dan Piala Malaysia, Piala FA menawarkan magis tersendiri.

Bermodelkan saingan Piala FA Inggeris, final sulung dimenangi Perak dengan menewaskan Selangor 4-2 bersaksikan 35,000 penonton di Stadium Merdeka pada 22 Ogos 1990.

Advertisement

Sabah tampil selaku pakar Piala FA pada dekad pertama saingan, dengan kemaraan ke empat final dalam tempoh enam tahun mengangkat skuad Negeri Di Bawah Bayu sebagai barisan disegani.

Diterajui dua serangkai penyerang berkaki kiri – Scott Ollerenshaw dan Matlan Marjan – masing-masing di puncak prestasi, Sabah memiliki kekuatan keseluruhan, bisa menyerap asakan sambil cekap mengatur serangan.

Dibentengi Khairul Azman Mohamad di gawang, Veselin Kovacevic, bek tengah berasal dari Serbia yang tenang mengawal kubu, ditemani Gerard Monjiliu manakala Jainin Tinin menutup ruang lawan bagi membolehkan Ong Kim Swee dan Yap Wai Loon membekal peluang kepada Matlan, Ollerenshaw serta perancang dari Bosnia, Milomir Seslija, rencah Sabah menjadi pada 1995.

Didahului clearance daripada benteng, Ollerenshaw menghalakan tandukannya di celah Raizuwah Idris dan Alan Davidson di saat Matlan meluru lebih pantas dengan menyungkit bola melepasi terkaman penjaga gol, Mudzar Mohamad, bagi gol pembukaan Sabah sejurus sebelum rehat.

Ollerenshaw menambah derita Pahang pada minit ke-58 apabila pantas menerpa untuk meyambut umpanan di hujung gawang hasil kerja keras Matlan dari penjuru kiri.

Kecuali rembatan Gus Cerro yang ditepis Khairul, disusuli umpanan lintang yang tidak bersambut, Pahang hanya boleh menuntut haknya di kawasan tengah padang.

Dollah Salleh merembat serong ketika hanya berdepan dengan Khairul pada minit ke-68 sambil sepakan lambung Zainal Abidin Hassan tiga minit kemudian ditumbuk keluar oleh penjaga gol itu.

Pahang membayar harga yang mahal atas kegagalannya memanfaatkan peluang, sebaliknya gelekan Milomir Seslija memperdaya benteng Pahang untuk menyempurnakan gol ketiga Sabah pada minit ke-81.

Saki-baki maruah Pahang diselamatkan oleh Dollah dengan jaringan balas dua minit sebelum tamat di saat Khairul tertewas.

Kejayaan anak buah Kelly Tham ketika itu menebus kecewa mereka pada 1993 dan 1994, apabila Kuala Lumpur merintis sejarah sebagai pasukan pertama menjuarai Piala FA dua kali.

Jaringan Wai Loon dan Loarance David pada minit ke-38 dan 44 cukup bagi Kuala Lumpur mengukir kejayaan 1993, sebelum jaringan awal Loarance diteruskan ledakan gol Zoran Nikolic dan Zulkifli Samion pada masa tambahan meleburkan impian Sabah pada 1994.

Pada 1998, FAM memutuskan Stadium Likas layak menjadi hos final tetapi jaringan tunggal perancang Milan Blagojevic pada minit ke-31 memusnahkan sama sekali impian 20,000 penonton tuan rumah.

Hari ini, jenama baharu menjadi kebanggaan negeri Johor.

Johor Darul Ta’zim atau JDT sudah bergelar juara Piala FA tiga kali berturut-turut pada 2022, 2023 dan 2024.

Dengan barisan ampuh yang hampir kebal di atas kertas, JDT harus menjadi pasukan pilihan untuk merangkul gelaran keempat berturut-turut, sekali gus menyulitkan misi Sabah FC untuk mengulangi detik gemilang 30 tahun lalu.

Apakah gandingan Ajdin Mujagic bersama Fergus Tierney dan Jafri Firdaus Chew yang akan disokong oleh Stuart Wilkin dan Daniel Ting mampu merobek ego JDT?

Di tengah kerancakan Sukan SEA ke-33 di Thailand, anda yang tidak ada hak sepenuhnya kepada alat kawalan jauh boleh muat turun aplikasi Sooka agar tidak ketinggalan menyaksikan drama final Piala FA Ahad ini!

 

Must Watch Video