Susulan keputusan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) untuk tidak menyambung kontrak ketua jurulatih terdahulu, Sarjit Singh, skuad hoki lelaki negara kini memasuki era baru di bawah kendalian Brendon Carolan.
Kehadiran pengendali kelahiran Ireland itu bukanlah sesuatu yang asing buat kem hoki negara memandangkan dia pernah berkhidmat sebagai penolong ketua jurulatih skuad kebangsaan sebelum ini.
Advertisement
Presiden Persatuan Hoki Kuala Lumpur (KLHA), I. Vickneswaran, menyifatkan pelantikan itu sebagai langkah tepat berdasarkan pengalaman luas dimiliki Carolan dalam peringkat antarabangsa.
“Brendan mempunyai pengalaman melatih bukan sahaja di Afrika Selatan, tetapi juga di Ireland dan Belgium.
“Berdasarkan pengalaman itu, dia memahami perkembangan semasa hoki di Eropah dan saya rasa daripada sudut pandang KHM, pelantikannya dilihat sangat bertepatan untuk menerajui pasukan kebangsaan,” katanya.
Dalam masa sama, Vickneswaran menegaskan kejayaan pasukan tidak boleh diletakkan sepenuhnya di bahu jurulatih semata-mata, sebaliknya memerlukan komitmen tinggi daripada pemain sendiri.
“Kita boleh bawa kuda ke sungai, tetapi tidak boleh memaksanya minum.
"Perkara sama juga kepada atlet kerana jurulatih boleh melatih, namun pemain sendiri yang akan menentukan prestasi sebenar ketika perlawanan.
“Kita perlu membuat persiapan daripada sekarang serta memberi galakan dan motivasi berterusan.
“Setiap orang pasti melakukan kesilapan, namun yang penting adalah bagaimana kita bangkit semula tanpa melupakan sasaran yang telah ditetapkan,” katanya lagi.
Dia menegaskan komitmen padu dalam kalangan pemain menjadi kunci utama untuk The Speedy Tigers terus melangkah maju menjelang beberapa kejohanan utama seperti Piala Negara-Negara, Piala Dunia Hoki serta misi memburu kejuaraan dalam Sukan Asia.
Kejayaan dalam temasya itu amat penting sebagai laluan merit untuk merealisasikan impian beraksi dalam pentas Sukan Olimpik Los Angeles (LA) 2028.