Kementerian Belia dan Sukan dengan kerjasama Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) akan menganjurkan edisi ke-30 perlumbaan Le Tour de Langkawi 2026 dari 27 September hingga 4 Oktober 2026 depan, dengan Majlis Sukan Negara (MSN) kekal selaku penganjur selepas penganjuran cemerlang menerusi tiga edisi sebelum ini.
LTdL 2026 akan menjelajah ke lapan negeri di Semenanjung Malaysia dengan jarak keseluruhan 1,258.5 kilometer.
Ulang tahun ke-30 LTdL juga menyajikan cabaran laluan paling sukar dalam sejarah penganjuran apabila tiga penamat di puncak bukit disajikan sebagai igauan setiap pelumba yang bakal hadir bersaing kali ini.
Pendakian Gunung Jerai diperkenalkan buat kali pertama di peringkat kedua, dari Taiping ke puncak Gunung Jerai.
Walaupun pendakian dilabelkan sebagai pendakian Kategori 1, permulaan mendaki dari ‘sea level’ di kaki gunung ke ketinggian menghampiri 1,000 meter pasti menjanjikan permulaan yang cukup mencabar dalam edisi kali ini.
Hasrat untuk mengulangi memori ‘back to back climb’ membabitkan Cameron Highlands dan Genting Highlands, yang cuma pernah diadakan dua kali sebelum ini pada tahun 2001 dan 2011, dapat direalisasikan tahun ini selepas menerima lampu hijau daripada pengurusan Resort World Genting untuk pelumba-pelumba kembali menawan puncak sukar di Genting Highlands nanti.
Ia juga menjadi berita gembira untuk peminat tegar LTdL, yang menantikan tradisi sambutan luar biasa di Genting Highlands di peringkat kelima edisi kali ini.
Penamat peringkat keempat di Cameron Highlands juga lebih mencabar kerana permulaan pendakian dari Tapah menuju ke Tanah Rata jelas lebih sukar berbanding pendakian melalui Simpang Pulai dalam dua edisi sebelum ini.
KBS juga mengharapkan prestasi lebih baik daripada pelumba-pelumba negara yang bertanding dalam LTdL 2026 mewakili tiga pasukan, iaitu Terengganu Cycling Team (TSG), Malaysia Pro Cycling Team (MPC) dan Pasukan Kebangsaan Malaysia.
Kejayaan Nur Aiman Rosli (TSG) mendapatkan kedudukan podium tempat kedua di penamat peringkat ketujuh LTdL 2025 hasil kayuhan “breakaway” luar biasa seharusnya mampu diulangi sekiranya pelumba-pelumba Malaysia membuat persediaan cukup rapi untuk perlumbaan pada September nanti.
Semua 20 pasukan yang dijemput, yang terdiri daripada kategori World Team, ProTeam, Continental Team dan pasukan kebangsaan, juga sudah mengesahkan penyertaan masing-masing sebelum acara pelancaran LTDL 2026 hari ini.