Manchester United memasuki musim baharu Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan harapan yang kembali menyala selepas menamatkan kempen lalu di tempat ketiga sekali gus menempah tiket ke Liga Juara-Juara (UCL).
Kebangkitan di bawah kendalian Michael Carrick memberikan penyokong alasan untuk kembali percaya, namun persoalan besar masih menanti The Red Devils jika mereka benar-benar mahu mencabar kejuaraan.
Mampukah United cabar kejuaraan?
Tempat ketiga musim lalu merupakan pencapaian terbaik United sejak 2023.
Lebih mengagumkan, United mengumpul 39 mata, terbanyak berbanding mana-mana pasukan Liga Perdana sejak Carrick mengambil alih pada pertengahan musim.
Daripada pasukan yang kelihatan menuju satu lagi musim mengecewakan, United berubah menjadi pencabar kelompok teratas.
Jika momentum itu dapat dikekalkan sejak perlawanan pertama, United mungkin mampu menjadi pencabar serius dalam perlumbaan kejuaraan yang dijangka terbuka luas.
Siapa ganti Casemiro?
Casemiro meninggalkan United untuk menyertai Inter Miami meninggalkan pengaruh yang cukup besar di bahagian tengah.
United sudah mendapatkan Andrey Santos dari Chelsea dengan nilai GBP85 juta serta Youri Tielemans dari Aston Villa.
Santos lebih menyerupai profil Casemiro dari aspek pertahanan, manakala Tielemans menawarkan kreativiti dan kemampuan bergerak dari kotak ke kotak.
Dalam masa sama, peluang turut terbuka buat produk akademi Kobbie Mainoo, yang bangkit selepas melalui tempoh sukar di bawah Ruben Amorim.
Siapa penyerang utama?
United mempunyai banyak pilihan di bahagian sayap termasuk Matheus Cunha, Bryan Mbeumo, Patrick Dorgu, Amad Diallo dan Marcus Rashford.
Namun, persoalan utama terletak di bahagian tengah.
Benjamin Sesko dijangka memikul sebahagian besar tanggungjawab menjaringkan gol selepas mencatat 12 gol dalam 32 penampilan musim lalu.
Joshua Zirkzee, Rashford dan Cunha turut boleh digunakan di posisi tersebut, tetapi United masih memerlukan lebih banyak sumber gol jika mahu mencabar kejuaraan.
Bruno Fernandes kekal atau bakal tinggalkan United?
Masa depan Bruno Fernandes terus menjadi perhatian.
Pemain Portugal itu dikaitkan dengan beberapa kelab, termasuk dari Arab Saudi, selain Galatasaray dan gergasi Itali, Juventus serta AC Milan.
Namun, United dilaporkan tidak berminat untuk melepaskan kapten mereka yang masih mempunyai setahun berbaki dalam kontrak.
Lebih-lebih lagi selepas Fernandes menghasilkan musim terbaiknya dengan mencatat 21 bantuan gol, rekod tertinggi Liga Perdana.
Jika United serius mahu mencabar kejuaraan, kehilangan Fernandes pada ketika ini pastinya satu tamparan besar.
Adakah United akan tambah pemain?
Carrick sendiri mengakui United memerlukan tambahan kekuatan untuk berubah daripada pencabar kepada calon juara.
Antara nama yang terus dikaitkan ialah pemain tengah Brighton, Carlos Baleba, yang dikatakan mempunyai tanda harga sekitar £100 juta.
United turut dikaitkan dengan beberapa penyerang termasuk Igor Matanovic, Nicolo Tresoldi dan Kaua Elias.
Posisi bek kiri juga dilihat memerlukan perhatian dengan David Raum dan Lewis Hall antara nama yang disebut.
Dengan kembalinya United ke Liga Juara-Juara, daya tarikan kelab itu untuk mendapatkan pemain berprofil tinggi pastinya kembali meningkat.
United mungkin belum cukup kuat untuk digelar pilihan utama juara, tetapi kebangkitan di bawah Carrick sudah memberi satu isyarat penting — gergasi yang pernah tersungkur itu mula bangkit semula.
Kini, cabarannya ialah memastikan kebangkitan tersebut bukan sekadar satu musim, sebaliknya menjadi permulaan kepada era baharu di Old Trafford.