Impian menjadi kenyataan. Itu yang dikongsi pakar pendaki skuad berbasikal lebuh raya kebangsaan, Chan Jian Le, atau lebih dikenali sebagai Cendol, selepas impiannya untuk menyertai Le Tour de Langkawi (LTdL) akhirnya direalisasikan.
Pelumba muda itu mengakui tidak menyangka berpeluang beraksi dalam perlumbaan berprestij di pentas antarabangsa tersebut, namun pengalaman itu kini menjadi pencetus semangat untuknya melangkah lebih jauh.
“Tahun lalu saya menang perlumbaan di Taiping. Saya meletakkan sasaran untuk menyertai LTdL tahun ini dan saya berjaya merealisasikan impian itu.
“Saya tidak sangka dapat beraksi di peringkat ini,” katanya.
Jian Le turut menyifatkan pengalaman beraksi di LTdL sebagai satu pencapaian penting dalam perkembangan kariernya.
Malah, pelumba itu kini mahu menggunakan pengalaman berkenaan sebagai batu loncatan untuk mendapatkan peluang menyertai pasukan bertaraf Continental.
“Saya amat gembira dengan prestasi semasa dan selepas tamat LTdL, saya akan cuba menyertai mana-mana pasukan bertaraf Continental.”
Jian Le turut menyimpan cita-cita lebih besar untuk menembusi skuad kebangsaan sekiranya diberikan peluang.
“Sasaran saya jika diberikan peluang, saya akan cuba untuk mendapatkan tempat dalam skuad kebangsaan.
“Namun apa-apa sahaja peluang yang hadir, saya akan cuba memberikan yang terbaik,” katanya.
Daripada kemenangan di Taiping kepada pentas LTdL, perjalanan Cendol kini memasuki fasa baharu dengan sasaran untuk melangkah ke tahap yang lebih tinggi.