Kejayaan gandingan Aidan Yunu dan Christian Didier Chin meraih pingat perak di Aichi-Nagoya 2026 dianggap sebagai titik permulaan penting buat sukan padel untuk berkembang lebih pesat di Malaysia.
Presiden Persatuan Padel Malaysia, Tengku Datuk Seri Abu Bakar Ahmad, menyifatkan pencapaian itu sebagai perkembangan cukup positif selepas padel membuat penampilan sulung di Sukan Asia.
Malah, Aidan dan Christian mencipta sejarah sebagai penyumbang pingat pertama Malaysia dalam sukan berkenaan di pentas Sukan Asia.
Menurut Abu Bakar, pihaknya bersedia duduk semeja dengan Majlis Sukan Negara (MSN) bagi membincangkan pelan hala tuju sukan padel, termasuk program latihan dan bantuan kewangan untuk memperkasakan skuad negara.
“Kami memiliki bakat di Malaysia. Sukan padel di Malaysia diceburi sejak beberapa tahun yang lalu dan berharap ia akan berkembang dengan lebih cepat selepas ini,” katanya.
Beliau berkata tumpuan turut diberikan kepada pembangunan bakat di peringkat akar umbi bagi memastikan lebih ramai pemain dapat diketengahkan pada masa depan.
“Kami mahu merancang untuk melahirkan lebih ramai atlet padel di peringkat akar umbi kerana ketika ini, rata-rata pemain hadir daripada sukan tenis dan skuasy.
“Sasaran tahun depan adalah padel akan dipertandingkan dalam Sukan SEA dan kami meletakkan sasaran pingat emas.”
Dengan asas yang sudah dibina menerusi pingat perak Aichi-Nagoya, padel Malaysia kini mempunyai peluang untuk berkembang daripada sekadar sukan baharu kepada salah satu prospek pingat negara di pentas serantau.