Terengganu dalam satu kenyataan malam tadi memaklumkan kelab berkenaan telah melakukan bedah siasat berikutan prestasi hambar pasukan mereka dalam saingan Liga Super musim ini.
"Pihak pengurusan Terengganu Football Club (Terengganu FC) mengambil maklum dan memahami sepenuhnya kebimbangan, kritikan serta kekecewaan para penyokong berhubung prestasi pasukan kebelakangan ini," kata kenyataan itu.
"Kami mengakui bahawa pencapaian semasa belum mencapai tahap yang diharapkan oleh kelab, para penyokong, rakan penaja dan seluruh warga penyokong Terengganu.
"Sebagai sebuah kelab yang membawa nama Terengganu, kami sedar bahawa setiap keputusan di atas padang bukan sekadar berkaitan dengan keputusan sesebuah perlawanan, tetapi turut melibatkan maruah, harapan dan kepercayaan penyokong yang sentiasa berdiri bersama Terengganu FC.
"Pihak pengurusan memandang serius situasi ini dan telah melakukan bedah siasat selepas perlawanan Terengganu FC bertemu DPMM FC Piala FA dan kedua selepas perlawanan JDT bersama barisan Jawatankuasa Teknikal & Pemilihan TFCSB."
Kelab itu berkata tempoh rehat FIFA baru-baru ini telah digunakan sepenuhnya untuk menambah baik pasukan.
"Keputusan tidak menyebelahi Terengganu apabila tewas kepada JDT, Sabah dan berada di kedudukan kesembilan.
"Tindakan surat peringatan akan diambil ke atas barisan kejurulatihan pasukan sebelum perlawanan bertemu DPMM FC saingan Liga Super pada 20 November 2026.
"Pihak pengurusan mengakui bahawa tanggungjawab terhadap hala tuju kelab tidak boleh diletakkan hanya kepada pemain atau barisan kejurulatihan semata-mata. Pengurusan akan memastikan struktur, perancangan, sumber, sokongan dan persekitaran kerja yang diperlukan akan dipertingkatkan sewajarnya.
"Kami menghargai segala sokongan, teguran dan pandangan yang diberikan penyokong serta memahami bahawa kritikan kerana adanya rasa sayang dan rasa memiliki terhadap kelab ini.
"Kami menyeru semua pihak agar terus memberikan sokongan kepada pemain dan pasukan, khususnya ketika melalui tempoh yang mencabar ini.
"Pihak pengurusan akan terus memantau perkembangan pasukan dan akan mengambil langkah yang diperlukan bagi memastikan Terengganu FC kembali berada pada tahap prestasi yang sepatutnya.
"Terengganu FC mempunyai tanggungjawab besar kepada penyokong, penaja, pemain, warga kerja dan seluruh peminat. Kami percaya bahawa dengan kerjasama semua pihak, Terengganu FC mampu bangkit dan kembali bersaing dan lebih berdaya saing," tambah kenyataan itu.