MARANG – Keadaan litar yang semakin mencabar akibat hujan dan permukaan berlumpur menambah sengit persaingan 54 pelumba jentera pacuan empat roda (4x4) dalam kejohanan GG4x4 Medium Core 2026 di Bukit Payung, di sini.
Pertandingan selama dua hari itu menampilkan kategori Medium Core dan Hantu Hardcore, sekali gus membuka ruang persaingan antara pemilik jentera persendirian dengan pelumba berpengalaman yang datang dari beberapa negeri.
Pengarah pertandingan, Tengku Khairul A. Rahman berkata, kejohanan berkenaan pada mulanya dirancang sebagai platform untuk penduduk setempat dan pemilik jentera 4x4 persendirian merasai pengalaman menyertai perlumbaan sebenar.
“Kami tidak menyangka menerima jumlah penyertaan yang begitu menggalakkan, malah ada dalam kalangan pelumba yang sanggup datang dari beberapa negeri untuk menyertai pertandingan ini.
“Pada asalnya, penganjuran ini bertujuan memberi peluang kepada pemilik jentera 4x4 persendirian, khususnya penduduk kampung sekitar, untuk merasai sendiri cabaran perlumbaan sebenar.
“Namun, permintaan daripada pelumba profesional yang mahukan cabaran lebih kompetitif ketika musim hujan mendorong kami memperkenalkan kategori Hantu Hardcore,” katanya.
Beliau yang juga pelumba profesional dan pernah beraksi di peringkat antarabangsa berkata, jumlah penyertaan yang diterima membuktikan kejohanan itu mendapat sambutan menggalakkan walaupun tidak menawarkan hadiah kemenangan yang lumayan.
Sebanyak lima peringkat khas atau special stage (SS) perlu diharungi setiap pelumba sepanjang dua hari pertandingan berlangsung.
Kejohanan anjuran Kelab GG4x4 yang berpangkalan di Kampung Binjai Bongkok, Bukit Payung itu turut mendapat sokongan penduduk setempat dengan penglibatan komuniti menjadi antara elemen penting penganjuran acara berkenaan.