Ketika kebanyakan negara diraikan dengan sorakan dan harapan menjelang empat hari menuju Piala Dunia 2026, suasana berbeza menyelubungi pelepasan skuad Iran apabila ribuan penyokong melaungkan tiga patah perkataan slogan kontroversi "Death to America".
Laungan tiga perkataan itu bergema ketika pemain Team Melli diperkenalkan kepada penyokong dalam acara perpisahan berskala besar yang berlangsung di ibu negara itu sebelum berlepas ke Amerika Utara bagi menghadapi saingan Piala Dunia yang dianjurkan bersama oleh Amerika Syarikat (AS), Kanada dan Mexico bermula Jumaat ini.
Majlis itu turut menyaksikan pelancaran jersi rasmi Iran bagi kempen Piala Dunia dengan ia dilihat menarik kehadiran luar biasa sehingga para pemain dilaporkan tidak dapat turun daripada bas pasukan pada peringkat awal akibat lautan penyokong yang memenuhi lokasi acara.
Lebih mencuri perhatian, laporan media antarabangsa mendakwa bendera Hezbollah turut kelihatan dikibarkan dalam kalangan penyokong yang hadir, sekali gus menyaksikan bagaimana temasya bola sepak terbesar dunia itu terus dibayangi ketegangan politik antara Tehran dan Washington.
BREAKING: Following Iran’s threats after Israel’s strike on Hezbollah targets in Beirut, sirens sounded across northern Israel as missiles were launched from Iran toward Israeli territory.
Schools have been ordered closed nationwide, public gatherings are restricted, and… pic.twitter.com/SDBBaIpALh— Ynet Global (@ynetnews) June 7, 2026
Presiden Persekutuan Bolasepak Iran, Mehdi Taj, yang turut dikaitkan dengan penolakan visa sebelum ini, menyifatkan majlis pelepasan tersebut sebagai yang terbaik pernah diterima skuad kebangsaan dalam empat edisi Piala Dunia terakhir.
"Pemain berdiri bersama rakyat dan rakyat berdiri bersama maruah, kehormatan serta kekuatan negara ini. Apa jua keputusannya nanti, kami berharap bendera Iran akan terus berkibar dan dipertahankan," katanya kepada televisyen negara itu.
Skuad kendalian Amir Ghalenoei itu hanya akan memasuki AS apabila tiba hari perlawanan dengan mereka dijadual berdepan New Zealand, Belgium dan Mesir dalam aksi Kumpulan G.