Kapten skuad futsal negara, Khairul Effendy Mohd Bahrin, percaya tiga perlawanan pemanas badan yang bakal diharungi skuad negara sebelum kempen Piala Asia 2026 penting dalam memastikan kecergasan dan keyakinan pemain berada pada tahap optimum.
Pasukan Kuwait, Korea Selatan serta sebuah kelab dari Indonesia dijangkakan akan menjadi medan ujian buat Malaysia sebelum aksi pembukaan bertemu gergasi Asia, Iran pada 28 Januari ini di Jakarta.
Advertisement
Dia yang lebih mesra disapa 'Ayon' itu Bersama rakan sepasukan akan cuba sedaya upaya untuk memberikan tentangan sengit kepada pencabar Kumpulan D yang turut menampilkan Afghanistan serta Arab Saudi, meskipun Harimau Malaya hadir dengan status pasukan bukan pilihan.
"Buat masa ini sesuai kerana jurulatih telah mengikuti jurulatih Rakpol buat masa yang lama, jadi tektikal, corak permainan semua jurulatih sudah tahu.
"Jika mahu menukar jurulatih baru tidak sesuai buat masa ini. Semua pemain sama, cuma kami perlu cari semula kecergasan kami," katanya.
Ayon turut mengakui ketiadaan bintang sensasi, Syahir Iqbal Khan, yang terpaksa disisihkan susulan kecederaan ACL memberikan kesan kepada jentera serangan pasukan, sambil berharap pemain sedia ada mampu membuktikan keupayaan beraksi di pentas tertinggi Asia.
"Dalam dua dan tiga perlawanan sebelum ini Syahir adalah pemain penting, semestinya akan ada perubahan besar tetapi pemain yang ada perlu digunakan sebaiknya." tambahnya.