Pemain golf negara, Mirabel Ting, meneruskan momentum cemerlang dalam saingan hari ketiga Kejohanan Golf Maybank di Kelab Golf dan Country Kuala Lumpur (KLGCC) hari ini.
Saingan hari kedua semalam menyaksikan Mirabel bermain bersih tanpa sebarang bogey, tetapi hari ini dia melakukan empat bogey yang menerbitkan kehampaan buat dirinya.
Bagaimanapun, ia diselamatkan oleh tujuh birdie yang dapat dilakukannya untuk mencatat tiga bawah par, sekali gus menduduki ranking ke-43 keseluruhan bersama tiga pemain lain yang turut mencatat empat bawah par keseluruhan.
Bagi Mirabel, walaupun dapat bangkit dan memintas rakan senegara, Liyana Durisic, dia tidak berpuas hati dengan persembahannya dan berharap dapat beraksi lebih baik dalam pusingan terakhir esok.
"Saya melakukan pukulan dengan agak baik hari ini," katanya kepada wartawan Astro Arena, Kamal Nizam.
"Ada sedikit tidak tepat tetapi saya kian memperbaiki setiap pukulan. Ada pukulan yang masuk dan beberapa tidak.
"Saya agak kecewa banyak melakukan kesilapan hari ini tetapi ia sudah berlalu dan tiada apa saya boleh lakukan.
"Saya hanya mahu melakukan pukulan yang baik esok."