Kejohanan Golf Maybank 2026 menjadi pentas pertemuan semula Liyana Durisic dengan abangnya, Danial Azizan Durisic, yang meneruskan legasi keluarga mereka di pentas elit.
Liyana mengikut jejak abangnya, Danial, menjadi pemain golf profesional dan muncul pemain terbaik negara pada hari pertama kejohanan itu di Kelab Golf dan Country Kuala Lumpur (KLGCC) hari ini.
Dia terikat di kedudukan keenam selepas mencatat 67 pukulan, 5 bawah par.
Bergandingan bersama abangnya Danial selaku kedi, kali terakhir Liyana dan Danial bergandingan adalah ketika kejohanan Maybank edisi 2024.
Liyana tampil cemerlang dalam saingan hari pertama itu tanpa sebarang catatan bogey, sekali gus menghuni kelompok atasan.
Pemain berusia 25 tahun itu bijak mengatur langkah tanpa mengambil risiko besar di venue kejohanan berkenaan.
Lebih menarik, Liyana berkongsi rutin bersama Danial bagi mengelak beraksi dalam tekanan dan ia ternyata pendekatan yang membuahkan hasil.
"Kami langsung tidak bercakap mengenai golf, kami bercakap mengenai orang lain, bercakap mengenai cuaca dan bercakap mengenai perkara-perkara lain," katanya kepada wartawan Astro Arena, Karl Nunis.
"Ia sesuatu yang baik. Abang saya membawa saya keluar sedikit daripada golf agar saya tidak terlalu memikirkan mengenai permainan ketika saya tidak memukul bola.
"Ia berjalan dengan baik. Pukulan saya amat baik dan saya hanya meminima kesilapan saya untuk mendapatkan tempat yang betul."