Ibarat phoenix bangkit daripada abu. Itulah gambaran tepat kebangkitan pemain golf profesional negara, Mirabel Ting, apabila sekali lagi muncul sebagai pemain terbaik Malaysia pada Kejohanan Golf Maybank 2026.
Lebih manis, pencapaian itu menyaksikan Mirabel mengekalkan status berkenaan buat kali ketiga berturut-turut dalam kejohanan tersebut.
Bagaimanapun, perjalanan Mirabel kali ini bukan mudah apabila dia berdepan permulaan kurang memberangsangkan pada hari pertama sebelum bangkit memperbaiki prestasi pada hari kedua.
Namun, beberapa pukulan bogey pada hari ketiga seakan menyukarkan misinya untuk menempatkan diri dalam kelompok 50 terbaik menjelang pusingan terakhir.
Mengulas prestasinya, Mirabel mengakui masih terdapat beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki, khususnya dalam aspek putting.
“Ia agak sukar namun saya berjaya menamatkan saingan di bawah par, ia merupakan perkara yang baik namun ternyata cabaran hari ini agak sukar,” katanya selepas menamatkan pusingan terakhir.
Bagi Mirabel, muncul sebagai pemain terbaik Malaysia bukanlah sesuatu yang perlu terlalu dibanggakan kerana fokus utamanya adalah untuk terus meningkatkan prestasi di pentas antarabangsa.
Malah, pemain muda itu meletakkan sasaran untuk mendapatkan sebanyak mungkin peluang beraksi dalam kejohanan Jelajah LPGA tahun hadapan.
Mengulas lanjut mengenai persembahannya, Mirabel menyifatkan prestasinya sebagai tidak terlalu baik, namun juga bukan sesuatu yang mengecewakan sepenuhnya.
Jelas, cabaran seterusnya buat Mirabel adalah memperkemaskan kelemahan dalam permainannya agar mampu tampil lebih konsisten, terutama ketika mengharungi jadual pertandingan yang dijangka padat pada tahun hadapan.