Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sentiasa memberikan sokongan dan dorongan kepada pelumba Moto3 negara, Muhammad Hakim Danish Ramli agar terus mengharumkan nama negara pada Kejuaraan Motosikal Dunia.
Menterinya, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata bukan sahaja Hakim Danish, malah pihaknya juga memberikan sokongan kepada pembangunan sukan permotoran dua roda negara menerusi suntikan dana RM1.8 juta tahun ini.
“Kita sentiasa memberikan sokongan kepada semua atlet kita seperti tahun ini di bawah Geran Padanan Sukan, kita menyalurkan sebanyak RM800,000.
“Menerusi SIC (Litar Antarabangsa Sepang) kita menyalurkan sebanyak RM1 juta. Jadi keseluruhan untuk tahun ini RM1.8 juta,” katanya.
Dr Mohammed Taufiq berkata demikian pada sidang media selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MOU) antara Jabatan Belia dan Sukan Negara dengan Delivery Hero Malaysia Sdn Bhd (foodpanda Malaysia), MyTeksi Sdn Bhd (Grab Malaysia) dan Gamuda Land Leisure Sdn Bhd.
Katanya KBS juga akan membincangkan sebarang bantuan dan penyaluran dana tambahan termasuk kepada Hakim Danish susulan kejayaan melakar podium sulung musim ini pada saingan Grand Prix (GP) Itali di Litar Mugello selain menyedari potensi besar sukan permotoran untuk kemajuan sukan negara.
Pada Mac lepas, KBS mengesahkan tiada dana khusus diberikan kepada pelumba dari Terengganu itu bagi membantunya mengharungi kempen Moto3 musim ini.
Ahad lepas, pelumba berusia 18 tahun itu mencipta kejayaan sensasi meraih podium sulungnya musim ini selepas mengakhiri saingan GP Itali di Litar Mugello dengan menduduki tempat ketiga.
Pelumba pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi ketinggalan 0.456 saat (s) di belakang pemenang perlumbaan, Brian Uriarte dari pasukan Red Bull KTM Ajo yang mencatat masa 33 minit 07.80s manakala kedua menjadi milik rakan sepasukannya Alvaro Carpe (33:08.219s).
Pencapaian Hakim Danish di GP Itali menyaksikannya menamatkan kemarau podium Malaysia dalam saingan Moto3 sejak kali terakhir dicapai Khairul Idham Pawi ketika muncul juara GP Argentina pada 2016.
Dr Mohammed Taufiq pada masa sama mengucapkan syabas kepada Hakim Danish susulan kejayaan membanggakan dilakar pelumba kelahiran Terengganu itu.
Terdahulu, beliau berkata MOU selama dua tahun bersama ketiga-tiga syarikat pada majlis hari ini merupakan tanda sokongan kepada program Rakan Muda dengan tawaran menarik kepada mereka yang menyertai program tersebut antaranya diskaun foodpanda Malaysia dan yuran langganan percuma dua bulan Grab Unlimited oleh Grab Malaysia.-Awani