Perancis tidak berdepan masalah menewaskan Belgium 4-1 meskipun turun tanpa kapten pasukan, Kylian Mbappe, dalam saingan Kumpulan A1, Liga Negara-Negara Eropah (UNL) di Stade de France, awal pagi tadi.
Belgium terlebih dahulu mendahului menerusi Dodi Lukebakio yang bijak melepasi perangkap ofsaid pada minit ke-35, sebelum Desire Doue kembali menyamakan kedudukan pada minit ke-77 permainan.
15 minit terakhir itu digunakan sepenuhnya pasukan tuan rumah apabila satu gol Rayan Cherki dan dua jaringan Michael Olise memastikan skuad Les Blues menamatkan 90 minit dengan kemenangan.
Skuad kendalian Zinedine Zidane itu meraih kemenangan pertama di laman sendiri dibawah kendalian jurulatih berusia 54 tahun itu, tiga hari selepas seri 1-1 berdepan Itali.
"Itulah bola sepak, itu yang kami sukakan. Memang ada kesukaran tetapi itu sebahagian daripada permainan yang perlu ditempuhi.
"Seronok dapat memperbetulkan keadaan dan itulah yang kami lakukan dalam babak kedua yang luar biasa." kata jurulatih, Zidane.
Juara Piala Dunia 2018 itu beraksi tanpa khidmat Mbappe susulan masalah kecederaan pada lutut kirinya.
Perancis mengungguli dalam carta kedudukan Kumpulan A dengan 10 mata, tiga mata di hadapan Itali dan empat mata mengatasi Belgium.