Kementerian Belia dan Sukan (KBS) meletakkan sasaran optimis untuk muncul sebagai juara keseluruhan pada temasya Sukan SEA 2027, sekali gus mengulangi pencapaian cemerlang Malaysia sebagai kuasa sukan di rantau ini.
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata kementerian telah pun merangka garis masa yang jelas termasuk penganjuran pelbagai bengkel persediaan bagi memastikan setiap jenis sukan mampu menyumbang kepada sasaran jumlah pingat yang ditetapkan.
Advertisement
Beliau menegaskan bahawa edisi 2027 bukan sekadar mengenai pencapaian sukan, malah ia merupakan medan penting untuk membuktikan keupayaan kepimpinan negara di mata dunia melalui penganjuran yang berkualiti.
"Kita sangat optimis untuk mengekalkan kejuaraan dan kedudukan ranking kita. Insya-Allah, kita akan pastikan Malaysia menjadi yang terbaik dalam Sukan SEA 2027.
"Garis masa kita sangat jelas dan saya yakin dengan kombinasi pasukan mantap di bawah KBS, kita mampu mencapainya," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis amanat bagi pembukaan tahun 2026 bersama atlet dan jurulatih di Majlis Sukan Negara (MSN) di Kuala Lumpur pada Khamis.
Turut hadir, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Mordi Bimol dan Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin.
Beliau turut menyifatkan penganjuran kali ini sebagai platform utama untuk menyatupadukan rakyat Malaysia, selain menjadi kayu ukur terhadap kepercayaan negara-negara luar kepada kredibiliti Malaysia sebagai penganjur.
"Penganjuran ini amat penting bagi negara, bukan sahaja dari sudut sukan tetapi juga soal kepercayaan antarabangsa terhadap kepimpinan kita.
"Saya bersama pasukan KBS akan memastikan penganjuran ini menjadi antara yang terbaik pernah diadakan," tambahnya.
Beliau juga menyeru kerjasama erat daripada semua pihak, khususnya agensi di bawah KBS, untuk memastikan setiap perancangan berjalan lancar bagi memenuhi aspirasi negara.
Untuk rekod, ketika kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah pada edisi 2017, kontinjen negara melakar sejarah apabila muncul juara keseluruhan dengan kutipan 145 pingat emas, 92 perak dan 86 gangsa.-Awani