Program Road to Gold (RTG) Malaysia kehilangan seorang figura penting apabila jurulatih angkat berat, Sakchai Titajaree, 66, meninggal dunia ketika menjalankan tugas membimbing atlet negara di Thailand.
Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) dalam satu kenyataan memaklumkan mendiang menghembuskan nafas terakhir di hotel penginapannya ketika berada di Thailand bagi mengendalikan latihan dua atlet Program RTG, Mohamad Aniq Kasdan dan Muhamad Aznil Bidin.
Kedua-dua atlet itu sedang menjalani latihan di Sekolah Sukan Chonburi sebagai persiapan menghadapi kejohanan kelayakan Sukan Olimpik di Doha, Qatar, dari 4 hingga 11 Disember 2026.
Pemergian Sakchai merupakan satu kehilangan besar buat sukan angkat berat negara, khususnya ketika masih memainkan peranan penting dalam persiapan atlet Malaysia memburu peluang ke pentas Olimpik.
Mendiang bukan calang-calang jurulatih apabila memiliki pengalaman luas dalam arena angkat berat antarabangsa, termasuk pernah membimbing skuad kebangsaan Thailand dan pasukan negara itu pada Sukan Asia Hangzhou 2023 serta Kejohanan Angkat Berat Asia 2023.
Dia turut pernah membimbing atlet angkat berat Olimpik Thailand, Duangaksorn Chaidee, selain menerima Anugerah Jurulatih Sukan Amatur Terbaik Thailand 2025 yang disampaikan pada 4 Jun 2026.
Pengalaman dan kepakaran tersebut menjadi antara sebab khidmatnya diperlukan dalam Program RTG Malaysia bagi membantu meningkatkan prestasi atlet elit negara.
Presiden PABM, Datuk Ayub Rahmat, mewakili seluruh warga persatuan merakamkan penghargaan atas segala jasa, pengorbanan dan komitmen mendiang sepanjang berkhidmat untuk pembangunan sukan angkat berat.
Menurut PABM, pemergian Sakchai bukan sahaja dirasai Malaysia dan Thailand, malah turut menjadi kehilangan besar kepada komuniti angkat berat antarabangsa.
Dedikasi mendiang yang terus mencurahkan ilmu dan kepakaran kepada atlet negara sehingga akhir hayat menjadi bukti komitmennya terhadap sukan berkenaan.
PABM turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mendiang, sahabat handai, Persatuan Angkat Berat Amatur Thailand (TAWA) serta seluruh komuniti sukan angkat berat.
Jasa dan sumbangan Coach Sakchai kepada pembangunan atlet negara akan terus dikenang, manakala legasinya dalam sukan angkat berat diharap terus menjadi inspirasi kepada generasi pelapis.