Keputusan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) untuk mengubah format Piala Thomas dan Piala Uber nampaknya tidak disambut baik oleh para peminat mahupun pihak-pihak berkepentingan.
Perubahan format terkini yang diumumkan pada hari Rabu itu melibatkan kejohanan berpasukan seperti Piala Sudirman serta Piala Thomas & Uber.
Satu perubahan ketara bagi kejohanan berprestij itu ialah peralihan daripada format semasa -- yang menentukan pemenang berdasarkan lima perlawanan -- kepada format tiga perlawanan, bermula dari tahun 2028 dan seterusnya.
Keputusan tersebut telah mencetuskan persoalan, bukan sahaja daripada peminat, malah daripada Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Kenny Goh.
Wartawan Astro Arena, Faizal Bazari, dalam satu hantaran singkat di X mengatakan BAM akan berbincang terlebih dahulu, selain mendengar maklum balas daripada beberapa ahli gabungan sebelum meminta penjelasan lebih lanjut daripada BWF.
🚨Bantahan utk format baharu BWF dari BAM?🔥 Datuk Kenny tegaskan keputusan bakal dibuat setelah mendengar maklum balas dari ahli gabungan lain.🏸 @ASTROARENA https://t.co/deW7UxLFCj
— Faizal Bazari (@faizalbazario) November 27, 2026