2009 hingga 2026. 17 tahun tempoh mengabdikan diri dalam dunia hoki. Daripada permata pada usia muda, senjata pada zamannya dan harta terbesar negara.
Sudah sampai masa kita mengenalinya sebagai antara legenda hoki Malaysia.
Kebangkitan memukau skuad hoki negara mengikat Pakistan 5-5 malam tadi membawa keraian bermakna apabila Malaysia melayakkan diri ke perlawanan akhir Piala Sultan Azlah Shah (PSAS) 2026 di Ipoh, Perak Sabtu ini.
Faizal Saari muncul wira negara apabila meledakkan tiga gol, termasuk gol terakhir yang melayakkan Malaysia ke final pada penghujung perlawanan.
Tanpanya, kita mungkin hanya tinggal mimpi. Tidak dilupakan kepada rakan sepasukan yang lain tidak putus harapan, malah semakin bersemangat untuk tetap mencipta kejutan dan kebanggaan di tanah air sendiri.
PIALA SULTAN AZLAN SHAH 2026 : Penjaring Terbanyak (11 gol) ✅ Hatrik lwn Pakistan ✅ Gol Padang ✅ Gol Pukulan Sudut Penalti ✅ Penalti Stroke ✅ 347 kaps 314 gol 2009-2026 @ASTROARENA https://t.co/JmI1odR3I7
— karlnunis (@_karlnunis) November 26, 2026
Penyerang sensasi negara itu bakal menerima pengiktirafan tertinggi apabila tersenarai dalam Dewan Kemasyhuran Hoki Negara selaku antara pemain terbaik sepanjang zaman.
Daripada mendominasi saingan tempatan bersama Terengganu Hockey Team (THT) hingga menguasai Liga Oman bersama Al-Nasr, Faizal Saari kekal menjadi ikon hoki Malaysia.
Meskipun pernah mengumumkan persaraan sebelum ini, kepulangannya ke skuad kendalian Brandon Carolan tetap menjadi aset penting dan sentiasa ditagih untuk merobek gawang lawan.
Dia membantu Malaysia membawa pulang tiga pingat perak dalam tiga edisi Sukan Asia selain tempat kedua dalam dua edisi Piala Asia.
Pada usianya yang menginjak 35 tahun, Faizal telah merekodkan 347 penampilan, sekali gus mencatatkan 314 jaringan bersama The Speedy Tigers. Calon penjaring terbanyak kejohanan edisi ke-32 itu.
Malaysia, NIKMATILAH Faizal Saari selagi ‘Abe’ menyarung jersi keramat 10. 2009-2026, bersara seketika & kembali bersama Speedy Tigers. Hatrik Faizal bawa Malaysia ke final….. Selamat malam Ipoh 🇲🇾🏑 @ASTROARENA https://t.co/dw9BJAd9uh
— karlnunis (@_karlnunis) November 26, 2026
Pada aksi bertemu Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini, tonggak utama negara itu mencipta memori teragung sekali dalam seumur hidup apabila menjaringkan gol berkelas dunia mirip jaringan ikonik Datuk Mirnawan Nawawi ketika menewaskan India 3-2 dalam kempen Piala Dunia 2002 di Kuala Lumpur.
Jaringan kedua peribadi Faizal ke atas Amerika Syarikat itu bakal dikenang untuk tempoh jangka masa yang lama — oleh kerana tahap kesukaran untuk menyempurnakannya.
Lebih manis lagi, jaringan itu turut disaksikan lagenda hoki negara, Mirnawan Nawawi secara langsung yang hadir di venue perlawanan.
Mereka akan bertemu Australia bagi merebut gelaran juara edisi ke-32.
Untuk rekod, sejak dipertandingkan pada 1983, Malaysia hanya pernah bergelar juara pada 2022
Selain itu, pencapaian terbaik Malaysia ialah bergelar naib juara sebanyak lima kali, masing-masing pada 1985, 2007, 2009, 2013 dan 2014.
Ayuh teruskan sokongan kepada sukan hoki negara! Saksikan Piala Sultan Azlan Shah 2026 bersama Tenaga Nasional Berhad.