Nak berlari di luar, udara tidak mengizinkan. Nak pindah latihan ke dalam gym, treadmill pula penuh! Itulah antara dilemma yang mula dirasai komuniti aktif lebih lebih lagi pelari tegar apabila situasi jerebu ini semakin mengganas di Lembah Klang.
Bagi yang sudah menjadi kebiasaan ataupun rutin melakukan aktiviti luar, banyak perubahan yang harus diadaptasi untuk terus kekal aktif. Bukan hanya ubah lokasi latihan, tetapi aktiviti seperti larian, berbasikal, hiking atau sekadar berjalan di taman terpaksa dikurangkan apabila kualiti udara berada pada tahap bahaya.
Bayangkan ketika anda bersenam, kadar pernafasan meningkat dan kita menyedut udara dengan lebih banyak dan lebih dalam berbanding ketika berehat. Itulah sebabnya ramai yang mula tidak sihat disebabkan berada di luar terlalu lama.
Alternatifnya, harus lah ke dalam gym pula sebab itulah tidak pelik apabila treadmill di gym kini menjadi rebutan khusunya buat runners yang perlu meneruskan ‘mileage’ dan jadual latihan mereka.
Perlumbaan larian yang mendatang juga memberi kerisauan kepada peserta dan juga penganjur seperti Kuala Lumpur Standard Chartered Marathon (KLSCM) yang akan berlangsung 3 dan 4 Oktober depan dengan harapan jerebu akan beransur pergi dalam masa yang terdekat.
Jika tidak, bukan sahaja pelari yang sudah berlatih yang akan terkesan malah banyak lagi pihak terlibat akan turut merasai impak akibat pembatalan event berskala besar seperti itu.