Dunia sukan permotoran melangkah ke era baharu apabila Itali menjadi tuan rumah perlumbaan autonomi yang pertama di Eropah.
Litar legenda Imola menjadi pentas lima pasukan daripada Abu Dhabi Autonomous Racing League (A2RL) untuk menguji kemampuan kereta lumba yang bergerak tanpa pemandu, stereng mahupun pedal.
Pasukan dari Jerman, Itali dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) bersaing menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam perlumbaan yang turut menguji had keupayaan teknologi autonomi.
Walaupun tiada pemandu berada di dalam kokpit, perlumbaan itu tetap memerlukan pasukan manusia yang terdiri daripada jurutera, saintis dan mekanik untuk membangunkan sistem paling pantas dan selamat.
“Semua pasukan datang untuk menang. Mereka adalah saintis dan berkelakuan seperti saintis, tetapi apabila pertandingan bermula, matlamatnya adalah membuktikan mereka mempunyai perisian dan kod terbaik,” kata Ketua Pegawai Eksekutif ASPIRE, Stephane Timpano.
Kesemua pasukan menggunakan jentera SF23 yang dibangunkan Dallara untuk saingan Super Formula Jepun, antara kategori perlumbaan terpantas di luar Formula 1.
Namun, kawalan manusia telah digantikan dengan kamera, radar dan sensor lidar yang membolehkan kereta mengenal pasti persekitaran, manakala komputer dalam kereta menentukan setiap pergerakan.
Menariknya, suasana di garaj tetap hampir sama seperti perlumbaan biasa apabila mekanik bekerja pada jentera, enjin mengaum dan jurutera memantau data telemetri secara langsung.
Penganjur turut melihat perlumbaan ini sebagai platform untuk meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap teknologi AI.
Bagi pakar, perlumbaan autonomi memberikan ruang untuk menguji situasi berisiko tinggi dalam persekitaran terkawal — sesuatu yang sukar dilakukan melalui ujian kenderaan biasa di jalan raya.
Alexander Winkler, ketua sukan A2RL, berkata persaingan antara beberapa kenderaan pada kelajuan berbeza menghasilkan data dan situasi kompleks yang amat berguna dalam pembangunan teknologi pemanduan autonomi.
Profesor Marko Bertogna dari Universiti Modena dan Reggio Emilia pula menyifatkan cabaran itu sebagai antara masalah kejuruteraan paling sukar ketika ini.
Bagi pasukan Universiti Teknikal Munich (TUM), cabaran terbesar ialah melepaskan sepenuhnya kawalan kepada sistem AI apabila perlumbaan bermula.
“Apabila perlumbaan bermula, tangan kami sudah tiada pada kawalan. Kami hanya melihatnya bergerak dan berharap semuanya berjalan lancar. Tetapi sudah tentu, ia boleh melakukan kesilapan,” kata ketua pasukan, Sascha Buettner.
Walaupun jentera tanpa pemandu kini semakin menghampiri prestasi pelumba sebenar dari segi kelajuan, penganjur mengakui teknologi AI masih belum mampu meniru sepenuhnya naluri, kreativiti dan imaginasi manusia di belakang stereng.
Perlumbaan 12 pusingan itu akhirnya dimenangi Kinetiz dari UAE, sekali gus menutup sejarah baharu di Imola.
A2RL yang berpusat di Abu Dhabi ditubuhkan pada 2023 dan kini menjadi antara platform utama dalam pembangunan teknologi perlumbaan autonomi.