Apa jua program seterusnya untuk pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2026, Muhammad Hafizuddin Roslin, sama ada ke sukan para atau menjadi jurulatih, bukan keutamaan ketika ini.
Sebaliknya, Institut Sukan Negara (ISN) utamakan baik pulih diri Hafizuddin terlebih dahulu sebelum perkara lain menjadi perbincangan.
Tegas Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Dr P Vellapandian, situasi ketika ini sebenarnya adalah kritikal buat Hafizuddin yang kehilangan dua perkara penting dalam hidupnya, iaitu karier dan anggota badannya yang mungkin boleh mengambil masa bertahun-tahun untuk pulih.
Hanya Hafizuddin yang menanggung kesan trauma walaupun secara luarannya dia mampu tersenyum melihat tetamu yang hadir datang melwatnya sepanjang berada di hospital.
"Walaupun nampak depan tenang, tapi daripada segi kesan psikologi, faktor emosi hanya dia seorang yang tahu.
"Mungkin dia senyum kerana menghargai orang yang melawatinya tapi di dalam hati, dia akan memikirkan kehilangan.
"Sebab ia satu kehilangan yang besar," katanya.
Hafizuddin bakal menjadi kes pertama yang akan diambil ISN di bawah pemantauan Pusat Psikologi Prestasi dan Kesejahteraan yang baru sahaja dilancarkan pada 26 Oktober lalu.
Jika sebelum ini keutamaan ISN terarah kepada kekuatan psikologi atlet dalam sukan, namun hal-hal melibatkan kesihatan mental juga menjadi sebahagian daripada servis yang ditawarkan.
"Kami ada mencadangkan dia menghadiri psikologi klinikal yang lebih kepada gangguan kecemasan, kemurungan dan tekanan," katanya.