Imigresen FC II secara rasmi menarik diri dari saingan Liga A1 Semi-Pro 2026/2027 menerusi surat yang dihantar kepada Liga Bolasepak Amatur (AFL) pada 18 November 2026 setelah melalui beberapa siri perbincangan sebelum ini.
Sehubungan itu, AFL melalui satu kenyataan sebentar tadi memaklumkan menerima dan menghormati keputusan tersebut dengan berat hati dan susulan penarikan diri Imigresen FC II, semua perlawanannya dibatalkan serta dianggap tidak sah termasuklah semua mata dan gol yang telah dimainkan sebelum penarikan diri secara rasmi Imigresen FC II.
Rentetan penarikan diri Imigresen FC II, perjalanan Liga A1 Semi-Pro 2026/2027 akan diteruskan mengikut perancangan sedia ada termasuk pembatalan semua perlawanan yang telah dijadualkan melibatkan Imigresen FC II.
Imigresen FC II turut digantung daripada menyertai mana-mana pertandingan anjuran AFL selama dua (2) musim iaitu pada musim 2026/2027 dan musim 2027/2028 serta dikenakan denda sebanyak RM50,000.00.
SAH ✍🏼 Imigresen FC II tarik diri daripada saingan Liga A1 Semi Pro 2026/2027. @ASTROARENA https://t.co/HzkY9SPmHk
— Fadhirul Shuhaimi (@FadhirulS) November 20, 2026
Pengerusi AFL, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi, berkata mesyuarat pada hari ini telah mengenakan hukuman yang agak berat ke atas Imigresen FC II berbanding kes-kes penarikan diri pasukan sebelum ini.
Yusoff juga menegaskan bahawa ia sebagai satu mesej peringatan kepada semua pasukan sedia ada serta yang bakal bertanding di Liga A1 musim akan datang agar lebih bersedia dan bertanggungjawab dalam mematuhi sepenuhnya peraturan pertandingan demi menjaga integriti liga.
“Kita tidak mahu perkara yang sama lagi berlaku di masa akan datang dan mencemarkan reputasi Liga A1 yang kini mendapat perhatian sebilangan besar peminat bola sepak tanah air”, ujar lagi.
Berbaki 16 lagi minggu perlawanan, 13 pasukan akan meneruskan saingan merebut kejuaraan liga yang bakal berakhir Mei tahun hadapan.