Ilkay Gundogan mengakui masih mengikuti rapat perkembangan Manchester City apabila bakal mengadakan perhitungan dalam Liga Juara-Juara (UCL).
Bekas kapten The Blues itu mendedahkan bahawa dia menonton seberapa banyak perlawanan dan menyokong kelab itu walaupun sudah berhijrah ke Galatasaray.
Advertisement
Pemain antarabangsa Jerman itu mampu merencatkan perancangan Pep Guardiola untuk menjulang gelaran Eropah apabila kedua-dua kelab itu bersaing dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan, awal pagi esok.
City perlu menang dan berharap keputusan akan memacu mereka ke kelompok lapan teratas dan mengelakkan perlawanan play-off, manakala kelab gergasi Turki itu masih boleh mara secara automatik sekiranya menang.
Gundogan meninggalkan City pada September lalu untuk menamatkan tempoh keduanya bersama kelab itu setelah kembali dari Barcelona.
Pemain berusia 35 tahun tersebut kemudian sekali lagi meninggalkan kelab itu walaupun kontraknya di Stadium Etihad masih berbaki setahun.
"Saya masih merupakan peminat kelab ini, pasukan ini dan pengurus ini," kata pemain tengah itu dalam sidang media.
"Saya menonton seberapa banyak perlawanan membabitkan City dan walaupun kami tidak menghadapi mereka dalam pertandingan ini, ia tidak akan mengubah apa-apa buat saya.
"Ramai orang di sini yang masih dekat di hati saya dan sudah tentu saya mendoakan yang terbaik untuk City.
"Malah, saya masih percaya City mampu mengalahkan Arsenal untuk merangkul gelaran Liga Perdana Inggeris."