Selangor memastikan penguasaan mereka dalam Derbi Lembah Klang terus bertahan apabila menewaskan Kuala Lumpur City (KL City) untuk meraih tiga mata di Stadium MBPJ, semalam.
Ketua jurulatih Selangor, Kim Pan-gon, menyifatkan kemenangan itu cukup istimewa kerana derbi berkenaan mempunyai nilai sentimental tersendiri, selain menjadi bukti komitmen 100 peratus yang ditunjukkan anak buahnya sepanjang 90 minit.
Menurutnya, suasana derbi yang berbeza dapat dirasai sejak wisel pertama apabila pemain Selangor tampil dengan keazaman tinggi.
“Saya fikir apa yang dilakukan pemain malam ini merupakan satu persembahan hebat untuk memberikan aksi yang baik kepada penyokong yang hadir memberikan sokongan kepada Red Giants.”
Bagaimanapun, KPG mengakui Selangor sepatutnya mampu menjaringkan lebih daripada tiga gol berdasarkan jumlah peluang yang dicipta.
Dia mahu aspek penyudah diperbaiki supaya setiap peluang yang terhasil dapat diterjemahkan kepada jaringan.
“Cuma kami agak lewat menjaringkan gol dan itu sedikit mengecewakan kerana kami cuba mendapatkan gol awal, mendominasi serta mengawal permainan.”
Jadual padat dalam tempoh dua hingga tiga minggu terakhir juga tidak menghalang Selangor daripada mengekalkan intensiti permainan.
“Sepatutnya kami sangat keletihan, tetapi semangat mereka mengatasi keadaan itu. Saya menghargai segala yang dilakukan pemain malam ini.”
Pan-gon turut mengakui kelemahan penyudah perlu segera diperbaiki jika Selangor mahu mencabar kedudukan terbaik musim ini.
“Apabila mendapat peluang, kami perlu mempunyai kebiasaan untuk menyempurnakannya.”
Sementara itu, ketua jurulatih KL City, Datuk Dollah Salleh, terpaksa menerima hakikat bahawa anak buahnya gagal menandingi intensiti yang ditampilkan Selangor.
Kelemahan di bahagian tengah, khususnya apabila lewat memberikan sokongan kepada penyerang Paulo Josue, turut menjejaskan corak serangan KL City.
Dollah mengakui penjaga gol pasukan memainkan peranan penting untuk mengelakkan KL City daripada mengalami kekalahan lebih besar.
“Penjaga gol kita sebenarnya banyak memainkan peranan dan menyelamatkan kita daripada menerima lebih daripada tiga gol.”
Penjaring gol kemenangan Selangor, Eduardo Sosa, pula sedar tanggungjawab besar yang hadir bersama kepercayaan menyarung jersi keramat nombor 10.
Namun, pemain itu melihat nombor berkenaan bukan sebagai tekanan, sebaliknya motivasi untuk memberikan sumbangan terbaik kepada Red Giants.
Kemenangan dalam derbi itu bukan sahaja memberikan tiga mata penting, malah meningkatkan keyakinan Selangor ketika musim memasuki fasa penting.