"Lagi orang tumpu, lagi saya suka," kata ratu wushu negara, Tan Cheong Min, menjelang saingan Sukan Asia Aichi-Nagoya di Jepun, yang akan membuka tirai secara rasmi hujung minggu ini.
Ketika tekanan kebiasaannya dirasai di sebalik kejayaan merangkul 11 kejuaraan bertaraf dunia, Cheong Min bijak memanipulasi tekanan itu untuk diubah menjadi kekuatan di dalam gelanggang.
Ironinya, Cheong Min suka akan perhatian yang diberikan kepadanya.
"Saya seorang yang gemarkan apabila orang meletakkan fokus kepada saya, benar saya sukakannya," katanya kepada wartawan Astro Arena, Fina Nasrom.
"Apabila anda memberikan tekanan itu, saya mengikat dan menguruskannya untuk menjadi lebih kuat daripada apa yang anda sangkakan.
"Mungkin saya akan rasa gementar tetapi tekanan itu akan menjadi motivasi untuk saya menjadi lebih kuat berbanding sebelumnya."
Dipilih sebagai pembawa Jalur Gemilang kontinjen negara dalam majlis pembukaan pada Sabtu ini, dia menganggap penghormatan itu seperti kepercayaan tidak berbelah bahagi daripada Majlis Sukan Negara (MSN).
Sepanjang penglibatannya dalam sukan wushu dan menggapai kejuaraan dunia pertama pada 2015, ini adalah pengalaman kali pertamanya merasai kemeriahan majlis perasmian sebuah temasya sukan dan lebih manis, dia akan menjadi pembawa bendera negara dalam majlis pembukaan itu.