Kejohanan Golf Amatur Terbuka Selangor 2026 menerima sambutan luar jangkaan penglibatan sejumlah 128 pemain, sekali gus mencerminkan kualiti penganjuran serta saingan kompetitif bakat elit tempatan.
Majoriti pemain amatur yang layak beraksi pada edisi tahun ini terdiri daripada pemain daripada Sukan Malaysia (Sukma) Selangor, Ogos hadapan.
Memandangkan kejohanan berlangsung kurang dua bulan menuju Sukma 2026, pemain terbaik amatur seluruh negara menumpukan fokus dalam kejohanan kali ini.
Lebih menarik, penglibatan pemain luar negara antaranya dari Korea Selatan dan Singapura mewarnai kejohanan edisi ke-50 di Kelab Golf Bukit Beruntung bermula esok.
"Ini penganjuran kedua di bawah kelolaan Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-anggota Kerajaan Malaysia (MAKSAK) Selangor.
"Sebelum ini kami hadkan kepada 128 pemain tetapi kami menerima lebih 160 permohonan dan kebanyakannya daripada atlet Sukma.
"Hadiah keseluruhan yang ditawarkan musim ini adalah RM150,000 malah tahun ini kami turut memberi tumpuan kepada kategori junior," kata Pngarah Teknikal Kejohanan Golf Amatur Terbuka Selangor 2026, Rosmene Rasid.
Cabaran utama edisi kali ini melibatkan kondisi Kelab Golf Bukit Beruntung yang melalui proses naik taraf dan kemas kini ini menawarkan halangan tersendiri.
Antara pemain harapan Program Pembangunan Golf Junior Kebangsaan (NJDP), Nurfathya Emylda Azrul Nizan, antara yang dicanang untuk mendominasi saingan selepas menjuarai Majlis Sukan Sekolah Selangor pada usia 15 tahun, bulan lalu.
"Lapangan di sini agak mencabar kerana kiri kanan terdapat kolam dan bunker.
"Tapi pengurusan lapangan bagus dalam membantu kami beraksi dengan baik," kata Nurfathya Emylda.