'Saya berdoa kepada Allah setiap hari 'Ya Allah, tolonglah beri kepada saya pingat emas'
Itu luahan jaguh berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang, tidak dapat menahan perasan sebak selepas merangkul pingat emas pertamanya dalam temasya Sukan Komanwel, awal pagi tadi.
Selepas menyertai empat edisi temasya itu, The Pocket Rocketman telah melalui episod hitam apabila emas miliknya dibatalkan ketika edisi di New Delhi 2010.
Atlet berusia 38 tahun itu juga berkongsikan menjadi impiannya untuk menamatkan karier gemilangnya sebagai atlet berbasikal trek negara dengan pingat emas.
"Nombor satu dalam sukan keirin adalah taktik, hari ini saya tunjukkan kepada dunia bahawa saya pelumba terbaik dalam keirin.
"Saya tidak terlalu risau berada di posisi nombor empat kerana tiga pelumba di hadapan, saya cuma bersabar dan menunggu waktu terbaik (untuk melakukan pecutan).
"Sangat bermakna kerana saya rancang untuk bersara selepas ini, saya menang pingat emas di New Delhi tetapi dibatalkan, ada dua gangsa, saya berdoa kepada Allah setiap hari 'Ya Allah, tolonglah beri kepada saya pingat emas'.
"Saya nak sangat tamatkan karier saya dengan pingat emas untuk buktikan kepada diri saya dan dunia yang saya boleh menang pada usia 38 tahun.
"Alhamdulilah, hari ini saya buktikan." katanya.