MCKK International 7s Football Championship 2026 melabuhkan tirainya dengan penuh meriah pada 13 September 2026, sekali gus menandakan kejayaan edisi kedua kejohanan bola sepak tujuh sebelah anjuran The Malay College Kuala Kangsar (MCKK).
Majlis penutupan telah disempurnakan oleh YB Tuan Haji Akmal Nasrullah bin Haji Mohd Nasir, Menteri Ekonomi. Kehadiran beliau menyuntik semangat kepada para pemain muda serta menyerlahkan nilai kejohanan ini sebagai platform pembangunan bakat bola sepak sekolah di peringkat serantau.
Berlangsung selama tiga hari dari 11 hingga 13 September 2026 di EV Arena Urban Park, kejohanan ini menghimpunkan 64 pasukan dari Malaysia, Indonesia, Singapura dan Thailand. Pasukan-pasukan bertanding dalam kategori bawah 14 tahun (B-14) dan bawah 16 tahun (B-16), memperlihatkan aksi kompetitif, disiplin tinggi serta semangat kesukanan yang membanggakan.
Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) muncul juara bagi kategori B16 selepas menewaskan Woodland Warriors dari Singapura 2-0 dalam aksi final. STAR mempamerkan permainan tersusun dan bertenaga untuk mengatasi cabaran wakil negara jiran itu.
Dalam kategori B14, Sekolah Sultan Alam Shah (SAS) menjulang kejuaraan selepas mengatasi STAR 1-0. Perlawanan akhir yang sengit itu menyaksikan kedua-dua pasukan beraksi dengan penuh komitmen, sebelum SAS memastikan kemenangan menerusi jaringan tunggal perlawanan.
Pengarah Kejohanan, Noor Ramdhan bin Ramli, berkata kejayaan penganjuran edisi kedua ini memperlihatkan penerimaan yang semakin kukuh terhadap MCKK International 7s Football Championship dalam kalangan komuniti bola sepak sekolah serantau.
“Penyertaan 64 pasukan daripada empat negara membuktikan bahawa kejohanan ini semakin diyakini sebagai platform yang berkualiti untuk pemain muda bersaing dan menimba pengalaman di peringkat antarabangsa. Lebih penting, ia membuka ruang kepada mereka untuk membina keyakinan, disiplin dan persahabatan melangkaui sempadan,” katanya.
Beliau turut menyifatkan kesudian Tuan Haji Akmal Nasrullah Haji Mohd Nasir untuk menyempurnakan majlis penutupan sebagai satu penghormatan besar kepada semua yang menjayakan kejohanan ini.
“Kehadiran Menteri Ekonomi pada kemuncak kejohanan amat bermakna kepada para pemain, jurulatih, sekolah dan pasukan penganjur. Ia menjadi dorongan untuk kami terus memperkukuh kejohanan ini sebagai medan pembangunan bakat muda serta acara yang membanggakan di peringkat serantau,” katanya.
MCKK International 7s Football Championship mula diperkenalkan pada tahun 2025 di venue yang sama. Kejayaan penganjuran kali ini mengukuhkan komitmen MCKK untuk terus memperkasakan sukan di peringkat sekolah, sambil menyediakan pengalaman persaingan yang bermakna kepada generasi pemain bola sepak masa hadapan.