Pasukan GGR Motor mencipta sejarah tersendiri apabila dinobatkan sebagai Raja Drag EV Asia selepas meraih lima piala keseluruhan dalam perlumbaan ASEAN EV Drag International yang berlangsung di Avenue Track, Bangkok, pada Ahad lalu.
Kejayaan itu menyaksikan GGR Motor menguasai beberapa kategori utama, termasuk 100V, 130V dan Super Open, sekali gus membuktikan keupayaan jentera elektrik pasukan itu di peringkat antarabangsa.
Advertisement
Ketua Teknikal GGR Motor, Muhammad Fathi Mohamed Azmi atau lebih dikenali sebagai Toie, berkata kemenangan tersebut merupakan hasil kerja keras pasukan serta persiapan teknikal intensif dalam tempoh singkat di Thailand.
“Alhamdulillah, di bumi Thailand akhirnya GGR Motor Malaysia berjaya membawa pulang lima piala. Ini adalah pencapaian besar buat pasukan dan industri EV drag Malaysia,” ujarnya.
Menurut Toie, dalam kategori 100 volt, GGR Motor berjaya meraih tempat pertama, kedua dan ketiga, sekali gus mendominasi keseluruhan podium bagi kategori tersebut.
Beliau berkata, jentera GGR mencatat masa terpantas untuk tempat pertama, diikuti dua lagi jentera pasukan yang melengkapkan kedudukan podium, meskipun berdepan kekangan dari segi persediaan badan motosikal dan masa latihan.
“Disebabkan kekangan body dan keperluan mengejar masa, kami mengambil keputusan bertanding dalam konfigurasi sedia ada, namun syukur masih mampu mencatat keputusan membanggakan,” katanya.
Dalam kategori 130 Volt, GGR Motor turut menambah dua piala menerusi kedudukan tempat kedua dan ketiga.
Sementara itu, dalam kategori Super Open, GGR Motor mencatat kejayaan menewaskan pencabar dari Amerika Syarikat.
Mengulas kerjasama rentas negara, Toie menjelaskan penglibatan GGR Motor Thailand adalah sebahagian daripada kolaborasi strategik bagi memperluaskan pasaran motosikal GGREV di Thailand pada masa hadapan.
Dalam pada itu, pelumba GGR, Wan Imran Naim Wan Ahmad Arif, 23, mengakui cabaran menunggang jentera EV di Bangkok jauh berbeza berbanding motosikal petrol yang pernah dikendalikannya sebelum ini.
“EV bukan mudah, tambahan pula dengan permukaan trek yang sangat ‘grip’. Walaupun masa latihan singkat, pengalaman ini sangat berharga dan saya akan buat yang terbaik pada kejohanan akan datang,” katanya.
Seorang lagi pelumba, Mohd Edham Arzimi, 28, berkata tempoh latihan selama tiga hari di bawah bimbingan pasukan teknikal memberi pendedahan baharu terhadap karakter jentera elektrik berprestasi tinggi.
“Ini pengalaman pertama saya berlumba EV di Bangkok. Ia mencabar dari segi teknikal dan mental, tetapi alhamdulillah kami masih berjaya membawa pulang piala untuk Malaysia,” jelasnya.
Pada kejohanan antarabangsa NGO Asean Super Fast 2025 di Buriram United Dragster Track dari 9 hingga 11 Januari lalu menyaksikan GGR Motor berpuas hati meraih tempat ketiga dan keempat selepas berhadapan dengan cabaran teknikal dan kemalangan.