IRAN 4 INDONESIA 4
(Iran muncul juara melalui penentuan sepakan penalti 5-4)
Indonesia memberikan Iran debaran hingga hujung permainan sebelum wakil dari Teluk Parsi itu mempertahankan kejuaraan Kejohanan Futsal Piala Asia, sebentar tadi.
Advertisement
Gempita di Indonesia Arena jelas menghadirkan kegugupan buat Iran yang terpaksa bangkit tiga kali ketika berdepan juara Sukan SEA 2025 itu.
Malah, mereka turut cemas dalam 15 minit terakhir permainan berikutan ketinggalan 3-4 sebelum berhasil menyamakan kedudukan untuk melanjutkan permainan.
Penjaga gol Sang Garuda, Muhammad Nizar, tangkas ketika menafikan percubaan pertama Iran dalam penentuan sepakan penalti. Namun, kegagalan Dewa Rizki Amanda selepas itu membenarkan Iran kembali menyalakan peluang untuk babak itu bersambung dalam sepakan 'sudden death'.
Dan dalam situasi itu, Israr Magentara -- yang seharusnya diangkat sebagai wira hasil tiga ledakan golnya dalam perlawanan tersebut -- terlepas untuk menyempurnakan detik emas tersebut, yang akhirnya dimanfaatkan Iran untuk kemenangan 5-4, sekali gus menjulang gelaran ke-14.