Tonggak skuad ragbi Victoria Institution (VI), Muhammad Emir Faizal Mohd Fadzly, menyifatkan pasukannya sebagai berkelebihan tatkala turun beraksi di Stadium Merdeka bagi aksi final Super Schools Rugby (SSR) Divisyen Premier.
Bakal berdepan Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor (SEMASHYUR) pada Sabtu ini, Emir Faizal sedar ia bukan satu tugas mudah, namun percaya VI sudah bersiap sedia sepenuhnya demi merealisasikan misi menebus kekecewaan tahun lalu apabila tewas dalam final kepada Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Balik Pulau.
Jelas pelajar tingkatan 5 aliran sains sukan itu, VI perlu mengerah keringat jika berhasrat menjulang kejuaraan buat kali ketiga selepas kali terakhir melakukannya dalam edisi 2023.
"Pasukan lawan mempunyai kelebihan tersendiri, begitu juga tahap kecergasan mereka.
"Tapi kami akan berikan 200 peratus bagi perlawanan akhir ini.
"Kehadiran penyokong-penyokong dan alumni ke Stadium Merdeka (boleh melonjakkan semangat kami).
"Stadium Merdeka boleh dikatakan laman tuan rumah buat kami," katanya.