Olimpian berbasikal trek kebangsaan, Josiah Ng, menegaskan adalah satu misi mustahil untuk Malaysia mencari pengganti kepada Datuk Azizulhasni Awang.
Jelasnya, Jijoe bukan sahaja legenda tetapi telah meletakkan yang terlalu besar jurangnya jika dibandingkan dengan pelumba lain di pentas tertinggi.
Bagaimanapun, Josiah mengakui wujud beberapa nama seperti Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izzati yang mula menunjukkan kematangan dan mencipta kejayaan di persada antarabangsa.
Namun, untuk berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan Jijoe, ia memerlukan masa yang lama untuk mencipta Azizulhasni versi 2.0.
"Dalam sukan, tempat (Michael) Schumacher, (Lewis) Hamilton, (Roger) Federer dan (Rafael) Nadal tidak boleh digantikan.
"Atlet datang dan pergi, walaupun ada yang mirip prestasinya tapi mereka tidak akan dapat menggantikan legenda.
"Saya sendiri tidak mampu mengisi penanda aras yang diletakkan oleh Azizulhasni, dan kini kita mempunyai pelumba berpotensi tapi pastinya ia memerlukan masa (untuk capai ke tahap itu)," katanya di Nadi Arena.