Berita khabar angin Selangor didakwa meninggalkan Liga Malaysia (Liga-M) mendapat perhatian ramai di media sosial dengan peminat masing-masing melontarkan pandangan peribadi.
Ada yang berpendapat bahawa peserta Liga Super itu boleh mencuba untuk beraksi dalam di Indonesia, Singapura mahupun Thailand dengan kaedah sama seperti wakil Brunei, DPMM, yang mengikat perjanjian untuk bermain dalam Liga Super.
Namun, Stadium Astro turut berkongsi kenyataan Ahli Lembaga Pengarah Selangor FC, Datuk Seri Shahril Mokhtar, yang menafikan spekulasi tersebut sambil menyifatkan dakwaan yang tular itu hanyalah khabar angin semata-mata malah menegaskan Gergasi Merah kekal komited untuk terus bersaing dalam kempen domestik meskipun berdepan pelbagai cabaran.
Kecoh di media sosial dengan pelbagai desas-desus, namun Shahril ketika ditemui di Majlis Pelancaran dan Undian Liga Juara-Juara Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) hari ini menegaskan tiada sebarang perbincangan mahupun perancangan di peringkat pengurusan untuk Selangor meninggalkan saingan Liga-M.