Itu permulaan karier Thadis Henhera Vennice sebagai atlet pada usia 16 tahun yang penuh berliku sekali gus menjadi kekuatan semangat buatnya mencipta nama dalam sukan petanque.
Siapa sangka bermula dengan hanya meminjam boule, bola logam yang digunakan dalam petanque daripada gurunya di sebuah sekolah di Sabah, kini Henhera jadi antara atlet petanque yang menjadi sandaran menghadirkan pingat emas buat kontinjen Majlis Sukan Politeknik (MSP) di Sukan Institusi Pendidikan Tinggi, SUKIPT 2026.
Pelajar Politeknik Kota Kinabalu, Sabah ini meraih pingat gangsa bersama kontinjen negara pada temasya Sukan SEA Thailand tahun lalu.
"Terima kasih kepada Cikgu Kennedy yang banyak mengajar saya, memberi ilmu, sehingga saya mampu berada pada tahap ini. Mulanya saya hanya tengok orang main, tapi lepas tu saya tertarik dan mula bermain", ujar Henhera kepada wartawan Nadi Arena, Zulhelmi Zainal Azam.
Turut menjadi prospek emas buat kontinjen MSP -- Ainol Shahramadhan yang hadir dengan motivasi menggunung selepas membantu kontinjen Sabah realisasikan pingat emas Sukma 2026.
Menariknya, Ainol yang juga pelajar Politeknik Kota Kinabalu datang daripada 'keluarga petanque'.
"Sebenarnya, saya main petanque ini daripada ayah saya. Dia selalu bawa kami sekeluarga bermain petanque. Disitulah bermulanya satu keluarga kami bermain petanque", kata Ainol.
Selain petanque, taekwondo dan karate turut digantung harapan oleh MSP untuk menjadi penyumbang emas.
Sementara sofbol wanita yang jadi penyumbang emas kontinjen itu pada temasya sebelum ini bagaimanapun tidak dipertandingkan pada edisi kali ini.
Antara atlet berprestasi tinggi yang hadir memeriahkan temasya kali ini, pelari 400 meter negara, Umar Osman.