Insiden kekasaran melampau dalam perlawanan futsal remaja di Paraguay mencetuskan kemarahan selepas seorang pemain berusia 15 tahun ditendang di bahagian belakang tengkuk ketika sedang terbaring di atas gelanggang.
Kejadian membabitkan pertemuan antara pilihan remaja Villarrica dan Ovetense dalam saingan Campeonato C17 pada November 2026 itu turut mencetuskan pergaduhan besar sehingga pengadil terpaksa menghentikan perlawanan.
Rakaman video yang tular menunjukkan seorang pemain berusia 17 tahun berlari ke arah mangsa sebelum melepaskan tendangan kuat ke bahagian belakang tengkuknya.
🇵🇾 INTENTO DE HOMICIDIO EN PARAGUAY: Le pateó la nuca al rival que se encontraba en el suelo. No es ROJA, es ROJA Y CARCEL para este delincuente. https://t.co/tNf73uxNeZ
— 🦵💥 MEJORES PATADAS ⚽️💀 (@mejorespatadas1) November 26, 2026
Namun, mangsa bukan sahaja pengsan selama beberapa minit, malah dilaporkan mengalami sawan sebelum dikejarkan ke Hospital General de Coronel Oviedo untuk mendapatkan rawatan kecemasan.
Perlawanan ketika itu menyaksikan Villarrica mendahului 4-0. Laporan media tempatan menyebut insiden bermula dengan pertelingkahan antara pemain, termasuk tindakan awal mangsa yang didakwa memukul lawannya sebelum tendangan ke bahagian tengkuk itu dilepaskan.
Bagaimanapun, apa juga yang mencetuskan pergaduhan, tindakan menendang pemain yang sudah terbaring tetap satu kekasaran serius yang boleh membawa akibat lebih buruk.
Mangsa kemudian berkongsi perkembangan positif menerusi media sosial dengan memaklumkan keadaannya semakin baik dan berterima kasih atas sokongan yang diterima. Laporan media Paraguay turut mengesahkan remaja itu berada di luar bahaya selepas menerima rawatan.
Insiden itu turut mencetuskan tindakan disiplin apabila pengadil menghentikan perlawanan, manakala Persekutuan Futsal Paraguay menyatakan pendirian menolak sebarang bentuk keganasan dalam sukan dan memberi amaran tindakan tegas akan dikenakan terhadap pihak yang bertanggungjawab.
Lebih serius, laporan tempatan pada 27 November menyebut satu laporan polis telah dibuat terhadap dua pemain Ovetense berhubung dakwaan serangan dan kecederaan serius. Mangsa dilaporkan mengalami keretakan pada bahagian leher. Kes itu kini perlu diteliti pihak berkuasa, memandangkan individu yang dikaitkan dengan serangan juga masih bawah umur.
Kejadian itu sekali lagi membangkitkan persoalan mengenai tahap keselamatan dan kawalan disiplin dalam pertandingan sukan remaja. Persaingan di gelanggang sepatutnya membentuk karakter dan semangat kesukanan, bukannya membuka ruang kepada tindakan yang boleh mengancam nyawa pemain lain.