Isteri kepada Mason Greenwood, Harriet Robson, tampil merayu Persatuan Bola Sepak England (FA) supaya tidak terus melayan penyerang itu secara berbeza susulan kontroversi yang mencetuskan kecaman besar terhadapnya beberapa tahun lalu.
Harriet mendakwa mereka sekeluarga sudah berusaha meneruskan kehidupan, malah kini mempunyai anak, namun menganggap masih ada pihak yang belum dapat menerima perubahan dalam kehidupan mereka.
“Agak menyedihkan apabila kita sudah melupakan apa yang berlaku beberapa tahun lalu, tetapi badan bola sepak masih belum berbuat demikian.
“Kami kini sudah mempunyai anak dan semua orang perlu menerima hakikat itu serta meneruskan kehidupan masing-masing,” katanya.
Lebih tegas, Harriet meminta suaminya tidak terus menjadi sasaran layanan negatif, sambil mengakui Greenwood sudah melalui tempoh sukar sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini.
“Berhenti melayan suami saya seperti dia ini sampah. Dia sudah melalui banyak perkara dalam tempoh beberapa tahun ini,” katanya.
🚨🗣️ Mason Greenwood's wife Harriet Robson has asked English football federation to stop treating his husband differently: "It's a shame that, we've moved on from what happened years ago but the federation hasn't move on, we have children now and everyone has to accept that and move on with their lives" "stop treating my husband like he is some piece of shht, he has gone through a lot this couple of years"
— FullTime Report (@FullTimeX_) November 27, 2026
Greenwood sebelum ini berdepan tiga pertuduhan jenayah di England pada Oktober 2022, termasuk cubaan merogol, tingkah laku mengawal dan memaksa serta serangan yang menyebabkan kecederaan fizikal.
Bagaimanapun, pihak pendakwa raya England (CPS) pada Februari 2023 memutuskan untuk menghentikan prosiding selepas saksi utama menarik kerjasama dan bukti baharu muncul, sekali gus menyebabkan tiada lagi prospek realistik untuk mendapatkan sabitan.
Keputusan menghentikan pendakwaan itu bukan satu keputusan mahkamah yang membuktikan Greenwood tidak bersalah. Isu berkenaan juga mencetuskan tindakan Manchester United menjalankan siasatan dalaman sebelum kedua-dua pihak bersetuju pemain itu meninggalkan Old Trafford pada Ogos 2023.
Kini, rayuan Harriet membuka semula perbincangan mengenai sejauh mana pemain yang pernah terpalit kontroversi serius boleh kembali diterima dalam bola sepak, selain persoalan sama ada masa dan perubahan kehidupan peribadi sudah memadai untuk meredakan kecaman masyarakat.