Pelumba pasukan Ipon Yamaha YY Pang, Raiyan Khardanee Md Sanusi, berazam mencipta kejutan dalam pusingan terakhir Petronas MAM Malaysian Cub Prix hujung minggu ini.
Meskipun kini berada di kedudukan ketiga dalam carta kejuaraan kategori CP125 dengan 80 mata, dia menyifatkan tidak mustahil mampu mencabar pendahulu, Md Farid Hakimi jika dia berjaya menjuarai perlumbaan tersebut ekoran hanya ketinggalan 17 mata dibelakang.
Kejuaraan di Bandar Medini Iskandar, Johor sekali gus bakal menyaksikan dia mengulangi kejayaan tahun lalu di litar sama ketika beraksi dalam kategori wira KBS.
"Dalam pusingan terakhir ini saya perlu kuatkan semangat kerana saya tahu dalam kategori ini, semua mahu menang di litar itu, saya akan berikan saingan.
"Saya pernah berluma dengan pasukan lain di litar yang sama, tahun lalu saya dapat P1, tahun ini saya akan kembali ulangi sekali lagi sejarah itu," katanya.
Bagi kategori CP150 pula, Md Haziq Md Fairues, menjangkakan perlumbaan sengit susulan karakter litar yang lebih 'rolling' dan kurang teknikal sekaligus mampu merapatkan jurang antara pelumba.
Hanya selangkah menghampiri gelaran juara keseluruhan, pelumba Idemitsu Honda YAM Racing itu mengharapkan tunggangan terbaik yang konsisten sepanjang perlumbaan.
"Litar sedikit rolling daripada segi teknikal agak kurang sedikit berbanding pusingan sebelum ini, saya agak minat dengan litar ini, semua pelumba pasti akan sangat laju.
"Kami akan lihat potensi jentera dan tetapan, jika tida okay akan ada pilihan lain." tambahnya.