Pelumba ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM, Adi Putra Anahar, bersedia menterjemahkan episod duka kepada suntikan semangat baru apabila turun beraksi dalam saingan kategori WIRA menjelang Pusingan 6 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2026 di LYL International Karting Circuit.
Pusingan kali ini melakar lembaran sejarah tersendiri buat kejuaraan ini apabila menganjurkan perlumbaan waktu malam buat julung kalinya. Bagi Adi, peralihan suasana di bawah lampu limpah litar teknikal LYL hadir tepat pada masanya sebagai medan 'reset' terbaik untuk kembali merapatkan jurang mata kejuaraan.
Terdahulu, nasib tidak menyebelahi pelumba berusia belasan tahun itu apabila berdepan dua pusingan mengecewakan secara berturut-turut. Selepas terpaksa menelan kepahitan gagal menamatkan perlumbaan (DNF) ekoran isu mekanikal jentera di Pusingan 4, cabarannya di Pusingan 5 pula terhenti awal susulan kecederaan ketika sesi latihan yang menyebabkannya terlepas perlumbaan akhir. Kehilangan mata berharga itu menyaksikan kedudukan keseluruhan Adi merosot dari tangga ke-5 ke kedudukan ke-8.
Bagaimanapun, Adi mengesahkan tahap kecergasannya kini berada pada tahap optimum selepas memanfaatkan tempoh rehat bagi menjalani fasa pemulihan intensif.

"Syukur, selepas insiden yang tidak diingini di Pusingan 5, keadaan fizikal saya kini kembali cergas sepenuhnya dan saya sudah bebas daripada kecederaan untuk kembali menunggang. Sepanjang tempoh rehat ini, fokus utama saya memang terarah kepada proses pemulihan agar badan benar-benar bersedia menghadapi cabaran litar fizikal LYL.”
Mengulas mengenai kemerosotan mata dan tekanan perebutan kedudukan, Adi enggan membiarkan emosi negatif mengganggu fokusnya.
"Dari sudut mental, saya enggan meletakkan perkara itu sebagai beban atau tekanan yang meranapkan semangat. Saya tidak boleh menoleh ke belakang lagi. Fokus saya bulat untuk Pusingan 6, dan tekad saya adalah mahu bangkit menebus kekecewaan dua pusingan lalu. Kategori Wira memang terkenal dengan persaingan yang amat sengit dan jurang mata yang rapat. Misi saya kali ini adalah memberikan saingan habis-habisan di kelompok hadapan."
Perlumbaan malam pertama di LYL International Karting Circuit turut membuka dimensi baru buat semua pelumba memandangkan tiada kelebihan data bagi mana-mana pihak.
"Berlumba pada waktu malam buat kali pertama merupakan pengalaman yang cukup mengujakan dan saya tidak sabar untuk beraksi. Litar LYL ini sangat teknikal, jadi strategi saya adalah mengekalkan disiplin, mempamerkan corak tunggangan yang bersih, dan mengelakkan sebarang kesilapan agar dapat membawa pulang keputusan terbaik."
Mengulas persediaan jentera miliknya, Adi menaruh keyakinan penuh terhadap kecekapan krew ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM dalam melaraskan jentera yang ampuh serta bersesuaian dengan penurunan suhu trek pada waktu malam.
"Pihak pasukan telah bekerja keras di bengkel bagi memastikan masalah mekanikal sebelum ini diselesaikan sepenuhnya. Kami percaya dengan pelan teknikal pasukan untuk perlumbaan malam ini dan saya bersedia membalas kepercayaan mereka dengan pungutan mata maksimum.” katanya.