Melaka Titans menempah tiket ke separuh akhir CelcomDigi Sepak Takraw League (STL) Premier dalam Grand Prix (GP) Kuala Lumpur selepas menidakkan cabaran ATM Guardians.
Menanti mereka seterusnya di Stadium Titiwangsa esok, satu lagi pasukan badan beruniform iaitu juara GP Perak, PDRM Defenders, sekali gus meletakkan kedua dua pasukan dalam perebutan untuk kejuaraan kedua musim ini.
Titans tampil dengan regu utama mereka yang dibarisi Syahir Rosdi, Azlan Alias dan Zaim Razali, Guardians pula meletakkan kepercayaan penuh terhadap gandingan Ikmal Hakimi, Fikri Sidik dan Saiful Bajuri.
Seawal set pertama, aksi berlangsung seimbang apabila kedua-dua regu saling bertukar serangan untuk mengumpul mata.
Namun, ketangkasan Titans dalam membaca corak permainan lawan membolehkan mereka mengambil alih penguasaan gelanggang.
Dipacu prestasi cemerlang Azlan, mereka akhirnya menutup set pertama dengan kemenangan 15-10.
Tersentak dengan keputusan itu, Guardians cuba membangkitkan set kedua dengan memberikan cabaran lebih sengit.
Asakan bertali-arus menyaksikan kedudukan sering berubah dan jurang mata kekal tipis pada awal permainan.
Bagaimanapun, pengalaman dimiliki Titans menjadi pemisah dan mereka terus mengekalkan disiplin permainan sebelum meraih mata penentu untuk melakar kemenangan 15-4, bagi mengesahkan kemaraan ke separuh akhir.
Sementara itu, harapan Negeri Sembilan Antlers untuk melangkah ke separuh akhir berkecai apabila mereka gagal menyekat dominasi Perak Bison dalam aksi tiga set.
Sebaik set pertama bermula, Antlers terus mengambil alih penguasaan gelanggang dengan servis Haziq Nizam yang sukar dibaca serta rejaman oleh Hafizul Hayazi.
Bison cuba merapatkan jurang mata ketika ketinggalan, namun Antlers kekal tenang menamatkan set pertama 15-9.
Perak Bison bangkit memperkemaskan rentak permainan dan memberikan tekanan berterusan kepada Antlers. Aksi semakin mendebarkan apabila kedua-dua pasukan saling kejar-mengejar mata tanpa memberi sebarang ruang mudah.
Pada akhirnya, Bison memaksa Antlers ke set penentuan dengan kemenangan 15-11 set kedua. Aksi penentuan berlangsung sengit dengan kedua-dua pasukan mempamerkan aksi cemerlang untuk tidak melakukan kesilapan mudah.
Bison mendahului pada satu ketika, namun Antlers bangkit untuk mengikat kedudukan 6-6.
Namun, ketenangan jelas memihak kepada Bison apabila menyempurnakan beberapa mata penting pada saat-saat kritikal.
Mata penentu yang diraih akhirnya mengesahkan kemenangan 15-13 untuk membolehkan mereka meneruskan kemaraan ke separuh akhir.