Berkelebihan 2-0 menerusi rekod pertemuan sebelum ini, Melaka Titans tidak membazir peluang untuk meraih kejuaraan pertama mereka dalam CelcomDigi Sepak Takraw League (STL) Premier yang bertempat di gelanggang sendiri, Grand Prix (GP) Melaka.
Berdepan Perak Bison, Titans mengatasi rempuhan Sang Seladang yang menagih kejuaraan kedua musim ini selepas GP Penang 2026.
Titans membuka perlawanan dengan cukup dominan di set pertama apabila mendahului 3-1.
Trio utama yang terdiri daripada Zaim Razali, Azlan Alias dan Syahir Rosdi langsung tidak memberi muka kepada Bison, yang menurunkan Amirul Zazwan Amir, bersama Pornthep Tinbangbon dan Nazrein Daniel.
Cukup mengenali permainan bekas rakan sepasukan mereka dalam Amirul Zazwa, Syahir dan Azlan bijak memerangkapnya dalam situasi yang memaksa kesilapan.
Dan disuntik semangat oleh sokongan padu dari Dewan MBMB di Bukit Serindit, Titans nemenangi set pertama 15-8.
Skrip yang sama berulang dalam set kedua yang menyaksikan Syahir mencatat beberapa 'spike winner' untuk mengutip mata demi mata serta membuka jurang selesa bagi Titans ke atas lawan.
Bison cuba mengejar dan mengharapkan kelekaan pihak lawan untuk merapatkan kedudukan, namun jelas ia misi mustahil untuk menangani servis Syahir yang mereka terpaksa akur tewas 9-15.