Johor dominasi National 7s 2026, rangkul tiga daripada empat gelaran juara
Johor muncul pasukan paling cemerlang pada Kejohanan Ragbi 7 Sebelah Kebangsaan 2026 (National 7s 2026) apabila berjaya merangkul tiga daripada empat gelaran juara yang dipertandingkan sepanjang kejohanan yang berlangsung selama tiga hari di Kuala Nerus, bermula 13 hingga 15 November 2026.
Johor mengungguli kategori Lelaki Terbuka, Lelaki Bawah 20 Tahun dan Wanita Bawah 20 Tahun, manakala Terengganu melengkapkan senarai juara menerusi kategori Wanita Terbuka.
Dalam aksi perlawanan akhir kategori Cup, Johor menewaskan Selangor dengan keputusan 10–5 bagi kategori Lelaki Terbuka. Johor meneruskan kejayaan apabila sekali lagi menewaskan Selangor 12–7 dalam kategori Lelaki Bawah 20 Tahun. Sementara itu, bagi kategori Wanita Bawah 20 Tahun, Johor mencatat kemenangan 31–5 ke atas Selangor.
Bagi kategori Wanita Terbuka, Terengganu berjaya merangkul kejuaraan selepas menewaskan PDRM dengan keputusan 19–0.
Majlis penyampaian hadiah bagi kategori Johan dan Naib Johan telah disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Muhammad Ismail, Pemangku Raja Terengganu sekali gus menyempurnakan kemuncak kejohanan yang menghimpunkan pasukan-pasukan ragbi dari seluruh negara.
Selain penentuan kejuaraan, kejohanan ini turut memberikan pengiktirafan kepada pemain yang menunjukkan prestasi cemerlang menerusi anugerah Pemain Terbaik bagi setiap kategori.

Kejohanan National 7s 2026 telah berlangsung pada 13 hingga 15 November 2026 bertempat di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail dan Padang Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Nerus, Terengganu.
Penganjuran kejohanan ini merupakan hasil kerjasama antara Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) dengan Kerajaan Negeri Terengganu, Majlis Sukan Negeri Terengganu dan Persatuan Ragbi Negeri Terengganu dalam usaha memperkukuh pembangunan sukan ragbi di peringkat kebangsaan.
Kejohanan ini juga menjadi platform penting kepada KRM untuk mengenal pasti dan menilai bakat pemain berpotensi bagi memperkukuh barisan pemain skuad Bunga Raya 7 Sebelah sebagai persediaan menghadapi Sukan SEA Malaysia 2027.
Kesatuan Ragbi Malaysia merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Terengganu, Majlis Sukan Negeri Terengganu, Persatuan Ragbi Negeri Terengganu dan semua Ahli Gabungan serta penaja yang telah memberikan sokongan dan kerjasama dalam menjayakan National 7s 2026.
Senarai Penerima Anugerah Pemain Terbaik:
Lelaki Terbuka: Ahmad Danny Anuar bin Ahmad Nazri (Johor)
Wanita Terbuka: Nur Alyia Nabila binti Samsubahari (Terengganu)
Lelaki Bawah 20 Tahun: Muhammad Murtadha Hadi bin Khairiel Hafiz (Johor)
Wanita Bawah 20 Tahun: Nur Irma Damia binti Mohd Nizam (Johor)