Kelantan Warriors dan PDRM Defenders mara ke separuh akhir Grand Prix Kuala Lumpur CelcomDigi Liga Sepak Takraw (STL) apabila menewaskan lawan masing-masing dalam perlawanan di Stadium Titiwangsa sebentar tadi.
Warriors terlebih dahulu mengesahkan kemaraan dengan mencatatkan kemenangan 2-0 ke atas Selangor Pistons dalam aksi penuh sengit, termasuk ketika rali panjang yang cukup dramatik sewaktu mata terakhir set kedua.
Warriors menang 15-6, 15-13.
Dalam satu lagi aksi suku akhir, Defenders terpaksa bangkit daripada ketinggalan satu set untuk menang 12-15, 15-10, 17-15 ke atas Johor Tigris.
PDRM bukan sahaja memerlukan kebangkitan untuk membawa permainan ke set penentuan, malah mereka pada satu ketika berada dalam situasi amat genting ketinggalan 11-14 dalam set terakhir itu sebelum menyamakan kedudukan 14-14 dan seterusnya menang 17-15.