Presiden Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Sumali Reduan, mengakui memikul tanggungjawab besar untuk memastikan skuad negara kekal konsisten rentetan pencapaian gemilang dalam Sukan SEA Thailand baru baru ini.
Sumali turut berkongsi bahawa skuad negara terpaksa mengharungi jadual kejohanan antarabangsa yang cukup padat tahun depan, sekali gus menuntut tahap persiapan yang rapi dan tersusun.
Kalendar pertandingan tahun depan amat mencabar buat kem sepak takraw negara bermula Mei, yang menyaksikan penganjuran Piala Dunia ISTAF di Kuala Lumpur.
Advertisement
Ia diikuti Piala Raja Thai di Thailand pada Julai dan Sukan Asia di Nagoya, Jepun, dua bulan selepas itu, selain Piala Dunia Remaja di Filipina pada November.
Pada masa sama, Sumali mengakui masih terdapat kelemahan yang perlu diberikan perhatian, khususnya membabitkan acara kuadran selepas skuad lelaki negara gagal menyumbang pingat meskipun PSM meletakkan sasaran tinggi bagi acara berkenaan di Bangkok.
"Tugas saya akan menjadi lebih berat. Yang pertama adalah untuk mengekalkan kejayaan dan yang kedua adalah bagaimana untuk kita mengatasi masalah kuadran," katanya kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.
"Bagi kuadran, kita akan melakukan bedah siasat yang lebih terperinci kerana sebelum ini, kita pernah menjadi juara dalam Piala Asia tetapi kali ini kita tidak dapat, mungkin kerana pemain terlalu menumpukan terhadap acara regu, jadi kurang latihan yang betul-betul intensif untuk kuadran.
"Kuadran memerlukan kajian, taktikal dan memerlukan pemain yang khusus untuk menjadi pakar, jadi saya akan mengubahnya."
Sebagai rekod, skuad negara bimbingan Ahmad Jais Baharun mencipta detik bersejarah apabila menyewaskan Thailand 2-1 dalam final acara regu berpasukan, sekaligus menamatkan kemarau pingat emas negara dalam acara itu sejak Sukan SEA Manila pada 1991.
Selepas itu, skuad negara juga memenangi emas acara antara regu dengan menewaskan Vietnam dalam aksi final.
Secara keseluruhan, skuad sepak takraw negara menamatkan Sukan SEA Thailand 2025 dengan pencapaian membanggakan hasil kutipan dua pingat emas dan tiga pingat gangsa.