Bintang Johor Darul Ta'zim (JDT), Carlos Akapo, difahamkan telah menarik diri daripada Equatorial Guinea menjelang perlawanan peringkat kumpulan, kelayakan Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) 2027 bertemu Zimbabwe.
Jumaat lalu, pemain berusia 33 tahun tiada dalam kesebelasan utama mahupun dalam senarai di bangku simpanan.
Harimau Selatan dalam satu hantaran malam tadi berkongsi suasana jamuan makan malam untuk para pemain, barisan kejurulatihan serta keluarga kelab tersebut di Istana Pasir Pelangi.
Lensa turut kelihatan Akapo berada dalam majlis berkenaan, sekali gus menjawab persoalan tentang statusnya bersama Equatorial Guinea malam ini.
Negara di ranking ke-103 dunia itu sekali lagi akan bertemu Zimbabwe malam ini tanpa Akapo.
Dia telah mengumpul 48 penampilan dengan dua gol bersama negaranya setakat ini.
Belum ada pengesahan rasmi mengapa Akapo tarik diri setakat ini. Tiada maklumat berkenaan kecederaan atau apa-apa halangan setakat ini.