Gergasi LaLiga, Barcelona, memfailkan aduan kepada Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) berhubung mutu pengadilan selepas kekalahan 0-2 mereka kepada Atletico Madrid dalam aksi suku akhir pertama Liga Juara-Juara Eropah (UCL) awal pagi semalam
Kemarahan kem Catalan itu berpunca daripada satu insiden pelik pada minit ke-54, yang melibatkan penjaga gol Atletico, Juan Musso, dan pemain pertahanan, Marc Pubill.
Advertisement
Dalam aksi di laman sendiri itu, Barcelona mendakwa Juan Musso telah melakukan sepakan gol untuk memulakan semula permainan, tetapi Marc Pubill secara tiba-tiba memegang bola menggunakan tangan di dalam kotak penalti untuk melakukan semula sepakan, tindakan yang dianggap oleh Barca sebagai kesalahan yang jelas.
Walaupun mendapat bantahan keras daripada pemain dan staf kejurulatihan, pengadil, Istvan Kovacs, mengarahkan perlawanan diteruskan sementara unit video bantuan pengadil (VAR) pula tidak memanggilnya ke monitor untuk semakan lanjut.
Menerusi kenyataan rasmi yang dikeluarkan, Barcelona menyifatkan kegagalan VAR untuk campur tangan sebagai satu "kesilapan besar" yang menjejaskan keputusan perlawanan.
Kelab itu menuntut agar UEFA membuka siasatan rasmi, memberikan akses kepada komunikasi pengadil, serta mengakui kesilapan teknikal yang berlaku demi memastikan langkah-langkah relevan diambil.
"Barcelona memaklumkan bahawa khidmat guaman kelab telah menyerahkan aduan kepada UEFA hari ini berhubung kejadian dalam perlawanan suku akhir pertama Liga Juara-Juara menentang Atletico Madrid," kata kelab itu dalam satu kenyataan.
"Aduan berkenaan tertumpu kepada satu tindakan spesifik. Pada minit ke-54 perlawanan, selepas permainan dimulakan semula dengan betul, seorang pemain lawan telah mengambil bola di dalam kawasan mereka tanpa diberikan sepakan penalti yang sepatutnya
"Barcelona mendapati bahawa keputusan itu, beserta kegagalan besar campur tangan VAR, merupakan satu kesilapan utama.
"Sehubungan itu, kelab telah meminta siasatan dibuka, akses kepada komunikasi pengadil, dan mungkin pengakuan rasmi terhadap kesilapan itu serta pengambilan langkah-langkah yang relevan."
