Skip to main content

Bola Sepak

Al Hilal dilapor tawar gaji RM450 juta semusim buat Lewandowski

Al Hilal dilapor tawar gaji RM450 juta semusim buat Lewandowski

Al Hilal SFC dilaporkan bersedia menawarkan kontrak lumayan bernilai sekitar EURO90 juta semusim kepada penyerang sensasi Poland, Robert Lewandowski, bagi memujuknya menyertai Liga Pro Saudi musim depan.

Nilai tersebut dianggarkan mencecah sekitar USD105 juta atau lebih RM450 juta setahun -- antara tawaran terbesar pernah diberikan kepada pemain bola sepak Eropah ketika berada di penghujung karier.

Kontrak Robert Lewandowski bersama FC Barcelona dijangka berakhir selepas musim 2025/26, sekali gus membuka ruang kepada beberapa kelab untuk mendapatkan khidmatnya secara percuma.

Pada usia 37 tahun, Lewandowski masih dianggap antara penyerang paling prolifik dunia walaupun prestasinya sedikit terjejas akibat kecederaan musim ini. Sepanjang bersama Barcelona, beliau sudah meledak lebih 100 gol dan membantu kelab itu memenangi beberapa trofi utama termasuk LaLiga.

Walaupun tawaran kewangan dari Arab Saudi cukup sukar ditolak, laporan menyebut Lewandowski masih mempertimbangkan beberapa faktor lain termasuk tahap kompetitif liga dan keupayaannya mengekalkan prestasi bersama Poland.

Perpindahan ke Liga Pro Saudi dilihat mampu membantu bekas penyerang FC Bayern Munich itu menguruskan beban fizikal dengan lebih baik menjelang baki kariernya di pentas antarabangsa.

Selain Al Hilal SFC, beberapa kelab dari Major League Soccer turut dikatakan berminat mendapatkan tandatangannya.

Must Watch Video