Pemangku ketua jurulatih Selangor, Christophe Gamel, sedia memberikan peluang kepada barisan pemain muda bagi menghadapi cabaran Lion City Sailors dalam aksi terakhir saingan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACLE) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), esok.
Meskipun sudah tersingkir daripada saingan, Gamel bagaimanapun menegaskan anak buahnya tidak akan memberikan laluan mudah buat lawan yang turun ke Kelana Jaya dengan misi wajib menang.
Advertisement
"Perkara paling penting adalah untuk mengetengahkan pemain muda. Positif buat kami untuk pemain lakukan yang terbaik.
"Perasaan saya agar lebih berhati-hati dengan masalah keletihan, kecederaan pada masa akan datang nanti," katanya.
Sementara itu, pertahanan import skuad Gergasi Merah, Mamadou Diarra, pula memasang impian untuk menutup saingan Kumpulan G dengan kemenangan.
Pemain kelahiran Senegal itu berkongsikan penting untuk Selangor meneruskan momentum positif selepas mengatasi Penang dalam saingan Liga Super pada Ahad lalu demi memastikan moral dan motivasi pasukan berada pada tahap terbaik.
"Kami bersedia berdepan Lion City, kami perlukan tiga mata dan berikan aksi terbaik.
"Saya tidak tahu banyak mengenai mereka tetapi saya percaya mereka pasukan yang bagus, tetapi kami tidak akan benarkan mereka menang di laman kami." tambahnya.
