Selangor mendaki tangga teratas Kumpulan A, Kejohanan Kelab ASEAN, ACC Shopee Cup, apabila menumbangkan kelab Vietnam, Cong An Hanoi, 2-0, dalam perlawanan di Stadium Petaling Jaya sebentar tadi.
Faisal Halim muncul wira Gergasi Merah dengan meledakkan gol berganda dalam separuh masa kedua.
Advertisement
Selangor lebih banyak menguasai permainan sejak dari awal tetapi buntu untuk menembusi gawangan Nguyen Philip sepanjang 45 minit pertama.
Bagaimanapun, selepas ledakan rendah Alvn Fortes gagal ditangkap kemas Philip, Faisal bertindak bijak menghidu bola muntah berkenaan sebelum menolak masuk gol pembukaan tuan rumah menjelang sejam permainan.
Sembilan minit selepas itu, kesilapan hantaran pemain Hanoi dimanfaatkan sepenuhnya Selangor untuk Chrigor Moraes melakukan umpanan ke tengah bagi membolehkan Faisal melepaskan penyudah gemilang dari luar kawasan penalti.
Dengan kemenangan itu, Selangor melonjak ke tangga teratas Kumpulan A dengan lapan mata daripada empat perlawanan.
Hanoi pula kian terperosok di tangga kelima dengan empat mata berbaki satu perlawanan peringkat kumpulan.